Thursday, 9 January 2014

Filled Under:
,

Ulasan Bulatan Gembira 9.0

ULASAN BULATAN GEMBIRA 9.0



Tarikh: 7 Disember 2013

Tempat: Pantai Bersih, Pulau Pinang


Tajuk pembentangan: 

1) Bedah Filem: Perempuan Berkalung Sorban (Fadhilah Zaharin)

2) Perkongsian: LGBT



Topik liberal semakin hangat diperkatakan kebelakangan ini berikutan beberapa isu yang timbul seperti yang berlaku di UPM baru-baru ini. Lanjutan daripada itu, maka pihak PI-Gen amat tertarik untuk membincangkan topik-topik berkenaan liberalisme di dalam Bulatan Gembira. 


      Bertemakan liberalisme, BG 9.0 telah dipilih untuk dibentangkan topik "Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender (LGBT)" yang turut berkait dengan isu tuntutan Comango yang juga terpalit unsur liberalisme di dalamnya. Slot LGBT telah dibentang oleh saudari Intan Khazaimah (Emma) dan isi-isi pembentangannya telah sedikit sebanyak diperolehi semasa kembara ilmunya di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 12 November lalu di mana beliau telah menyertai suatu seminar berkaitan topik tersebut anjuran universiti ini.


           Pembentangan LGBT telah dimulakan dengan tayangan video yang memaparkan luahan hati golongan-golongan yang terjebak ke dalam LGBT. Kebanyakan mereka menyuarakan isi hati yang sama di mana masyarakat selalu menyisihkan mereka. 


Video pengakuan golongan LGBT

Setelah tayangan video tamat, saudari Emma meneruskan pembentangan dengan memberi pengenalan tentang topik ini. Antara poin pembentangan yang menarik adalah pendedahan terhadap golongan 'Closeted Gay Men' yang terpaksa berpura-pura menyukai perempuan disebabkan tekanan daripada masyarakat sekeliling walhal pada hakikatnya naluri mereka tetap menyukai lelaki. Kemudian, saudari Emma membentangkan sedikit sebanyak faktor perubahan diri pada seorang yang terjebak dengan LGBT berdasarkan kajian yang telah dilakukan oleh Allan dan Barbara Pease dalam buku mereka bertajuk "Why Men Don't Listen and Women Can't Read Maps".
           Isu-isu berkenaan LGBT juga dibentangkan seperti isu diskriminasi dalam masyarakat, gangguan seksual yang dialami golongan LGBT, kepayahan mendapatkan peluang pekerjaan menyebabkan mereka terpaksa berpeleseran di tepi-tepi jalan dan menjadi pekerja seks, masalah kesihatan dan perubatan dan masalah kekeluargaan.

           Di akhir pembentangan, saudari Emma telah membuat kesimpulan bahawa golongan LGBT tidak seharusnya disisihkan dan dibuang terus daripada masyarakat sebaliknya mereka perlu diberi layanan yang sama seperti mana masyarakat normal yang lain walaupun dalam masa yang sama kita tetap tidak menyokong perbuatan mereka yang telah merosakkan jantina sendiri. Teguran juga turut diberikan terhadap agamawan yang telah menolak dan menghukum golongan LGBT tanpa memahami kondisi yang mereka alami serta turut tidak melakukan kajian menyeluruh terhadap golongan ini sebaliknya cuma menggunakan dalil-dalil agama secara kurang tepat dan adakalanya tidak sesuai untuk disepadankan dengan situasi di zaman ini. 

Sewaktu pembentangan
Setelah tamat slot pembentangan LGBT, program diteruskan lagi dengan slot daripada saya sendiri mengenai bedah filem "Perempuan Berkalung Sorban". Dahulu, saya pernah menulis ulasan berkenaan filem ini di blog dan ternyata penulisan tersebut masih kurang dari segi penilaian menyeluruh terhadap filem. Oleh itu, saya membentangkan pula ulasan filem ini secara lisan dan ternyata ada beberapa fakta menarik yang saya dapati melalui pemerhatian kali kedua ini.

          Pertama sekali, saya telah mewujudkan satu persoalan. Mengapakah filem ini dikatakan liberal? Scene yang manakah di dalam filem ini yang dikatakan liberal? Maka melalui pemerhatian saya sendiri, saya telah mendapati beberapa unsur di dalam filem ini seperti pengedaran buku-buku terutama buku "Bumi Manusia" yang telah dipaparkan dengan agak kerap berbanding buku-buku lain. Buku ini telah ditulis oleh penulis terkenal Pramoedya Ananta Toer.

           Menurut kajian saya terhadap penulis ini, Pramoedya merupakan seorang rakyat yang dibuang oleh negaranya sendiri. Kebanyakan penulisan Pramoedya tidak disukai oleh bangsanya sendiri menyebabkan beliau dibuang di sel-sel tahanan di negaranya sendiri.

           Namun begitu, Pramoedya tetap gigih menulis sepanjang dirinya disumbat di sel-sel gelap itu. Walaupun bangsanya menolak ideologinya, bangsa yang terdiri daripada golongan penjajah pula menyukai dan menerima ideologi yang dibawa oleh Pramoedya sendiri. Selain itu, Pramoedya juga dikatakan telah dipengaruhi oleh unsur-unsur komunis dalam diri dan penulisannya. Maka kerana itu saya simpulkan bahawa penulisan Pramoedya telah turut ditolak oleh golongan pesantren yang digambarkan dalam filem ini.

           Walaupun penulisan Pramoedya dikatakan telah dipengaruhi unsur komunis, tetapi saya tidak berminat untuk menilai tulisannya berdasarkan kajian sejarah komunis yang kemungkinan diselewengkan dalam beberapa hal. Masyarakat kita selalu ditipu dengan penilaian sejarah daripada sebelah pihak sahaja tanpa meneliti sejarah dari kaca mata sebelah pihak yang lagi satu.

           Secara keseluruhannya, saya telah menerangkan satu-persatu babak filem ini (walaupun ada yang tertinggal tetapi telah ditambah oleh audien) yang dikatakan kontroversi dengan dalil agama seperti kenyataan perempuan tidak boleh naik kuda, perempuan tidak boleh jadi pemimpin, perempuan diseksa dalam neraka kerana tidak melayani suami dan hal ini telah dipersoalkan watak utama, Annisa tentang bagaimana pula jika hal tersebut berbalik kepada lelaki, isu poligami, isu perempuan haram bermusafir tanpa ada muhrim dan isu hukuman ke atas penzina.
 
Filem Perempuan Berkalung Sorban
      
Filem ini telah mendapat beberapa anugerah kerana ketinggian mutunya walaupun ditolak oleh golongan agamawan yang telah mengecop filem ini sebagai filem 'liberal totok'. Filem ini ditayangkan sekejap sahaja di pawagam-pawagam di Indonesia berikutan penentangan tersebut.

           Program akhirnya ditamatkan dengan sesi soal jawab dan peserta telah memberi respon terhadap setiap topik pembentangan. Pihak kami mengucapkan berbanyak terima kasih kepada mereka yang sudi hadir dan kami juga menyatakan rasa kesal dan memohon maaf atas pembatalan saat akhir slot saudara Amirul Hakimi yang sepatutnya membentangkan topik "Liberalisme". Saudara Amirul Hakimi menghadapi kekangan tertentu dan akan hadir ke program BG yang akan datang.

           Walaupun BG kali ini kurang mendapat sambutan atas sebab-sebab tertentu seperti lambakan program dan aktiviti kampus, misi kami terhadap BG 9.0 tetap dicapai dan sedikit sebanyak dapat menjelaskan isu-isu berkenaan liberalisme dan kami sememangnya tidak gusar dengan pendirian yang dibawa kerana menurut Immanuel Kant, pencerahan itu sendiri membawa maksud kemunculan seseorang dari ketidakmatangannya yang sendiri dipikul.

Sapere aude! Beranilah menggunakan kefahaman sendiri! Itulah cogan kata Pencerahan.

0 comments:

Post a Comment

Copyright @ 2013 PI- GEN.