PLKN : Perlu diteruskan atau perlu dihentikan?
oleh Noorsashareena Adnan
Program Latihan Khidmat Negara atau singkatnya PLKN
merupakan kursus latihan wajib selama tiga bulan di pusat latihannya di
seluruh Malaysia bagi yang terpilih apabila menamatkan pendidikan sekolah
menengah pada peringkat SPM atau berumur 17 tahun.PLKN mula diperkenalkan pada
tahun 2004 selepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Akta Latihan
Khidmat Negara pada 25 Jun 2003 manakala Dewan Negara meluluskan Rang
Undang-Undang ini pada 7 Julai 2003.
Ramai yang tidak sabar untuk menyertai PLKN ini dan tidak
kurang juga ramainya pelajar yang seboleh-bolehnya tidak mahu namanya terpilih
untuk menyertai PLKN ini.Pada mulanya,saya juga sangat berharap agar nama saya
terpilih dalam senarai untuk menyertai PLKN kerana minat dengan aktiviti
berkawad. Malangnya,saya tidak dapat. Sebaliknya rakan-rakan saya yang tidak
mahu pula yang terpilih. Ada yang menangis. Ada yang marah dan macam-macam lagi
reaksi rakan-rakan saya sehingga ada yang menangis terguling-guling di lantai.
Namun,apakah puncanya mereka seolah-olah begitu tidak suka
terhadap PLKN ini? Dan mengapa pula ada sesetengah pelajar pula seakan-akan
begitu menantikan namanya dipanggil untuk menyertai PLKN? Apakah sebenarnya tanggapan
mereka terhadap PLKN? Dan sejauh manakah keberkesanan PLKN ini? Apakah objektif
sebenar PLKN dilaksanakan?
Persoalan-persoalan ini menjadi tanda tanya dalam diri saya.
Saya bertanya kepada diri sendiri. Adakah saya ingin menyertai PLKN kerana
modul-modul yang diterapkan terhadap pelajar atau sekadar ingin bersuka-ria
menambah kenalan ? Atau mungkah kerana mahu menjadi model pencuci pakaian
seperti iklan di televisyen? Mungkinkah?
Di sini saya sertakan antara objektif PLKN diadakan di negara
ini:
1. Untuk membina generasi muda yang bersemangat patriotik dan cinta Negara
2. Untuk melahirkan generasi muda yang
cergas,cerdas serta penuh keyakinan diri
3. Untuk membentuk perwatakan positif di kalangan
generasi muda menerusi penerapan nilai-nilai murni
4. Untuk mengeratkan perpaduan masyarakat Malaysia
yang berbilang etnik dan menimbulkan keprihatinan dan kesukarelaan untuk
berjasa kepada masyarakat.
Saya mula membuat sedikit kajian melalui internet dan juga
melalui pengalaman rakan-rakan saya yang telah pun menjalani PLKN bagi
mendapatkan jawapan terhadap persoalan-persoalan yang timbul di benak fikiran
saya. Ternyata rata-rata mereka mengatakan PLKN ini menyeronokkan hanya kerana
mereka mendapat kenalan yang ramai, belajar tarian yang menarik, dan tidak
kurang juga yang menemui ‘jodoh’ mereka ketika berada di dalam kem PLKN.Namun,
ada juga yang begitu tinggi semangat patriotiknya sebaik sahaja tamat kem PLKN
dan berubah menjadi insan yang lebih baik. Itu sesuatu yang bagus bagi
saya.Tetapi, seramai manakah yang menerima impak positif seperti itu? Seramai
manakah yang benar-benar memanfaatkan masa selama tiga bulan itu untuk menanam
semangat patriotik dan nilai-nilai murni dalam diri mereka?
Jika dilihat kepada objektif PLKN, secara peribadinya saya
mengatakan Program Latihan Khidmat Negara ini gagal dalam mencapai objektifnya.
Berdasarkan pemerhatian saya, kebanyakan pelajar yang menyertai kem PLKN ini
tiada perubahan dari segi sikap dan pemikiran mereka. Mungkin ada perubahan
tetapi hanya dalam tempoh yang singkat kemudian mereka kembali kepada sikap
buruk mereka bahkan ada yang menjadi semakin teruk sikapnya.Jadi,di manakah keperluannya
PLKN ini diteruskan perlaksanaannya?
Jika PLKN dikatakan mampu membentuk perwatakan
positif di kalangan generasi muda menerusi penerapan nilai-nilai murni,mengapa
sekarang ini semakin banyak jenayah yang berlaku dalam kalangan generasi muda?
Mengapakah mereka seakan-akan hilang pedoman hidup? Di manakah unsur-unsur
nilai murni yang dikatakan mahu diterapkan dalam diri mereka?
Peranan PLKN
Saya akui,tidak adil jika saya hanya menuding jari terhadap PLKN
semata-mata dalam permasalahan ini
kerana terdapat juga faktor-faktor lain yang turut menyumbang berlakunya kepincangan
ini.Tetapi di sini saya ingin menekankan soal peranan PLKN terhadap usaha
membentuk dan membimbing golongan muda menjadi belia atau masyarakat yang boleh
dipercayai dan dapat menyumbang kepada masyarakat yang lain.Apakah nanti golongan
muda ini akan peduli dengan nasib orang miskin di sekeliling mereka? Apakah
nanti golongan muda ini berani untuk menyuarakan pendapat mereka? Atau apakah
nanti golongan muda ini hanya mampu
untuk bercakap soal gajet,soal cinta,soal seks atau soal kahwin?
Pada pendapat saya, PLKN wajar dihentikan kerana dilihat
lebih banyak membawa kemudaratan berbanding kebaikan.Lihat sahaja begitu banyak
berita kematian pelatih PLKN ketika berada di dalam kem seakan-akan tiada
jaminan keselamatan langsung.Ada juga kes buli atau ‘ragging’ terjadi dalam
kalangan pelatih.Bagaimana mahu berkhidmat untuk negara jika ketika di dalam kem
sahaja mereka sudah dibiarkan membuli golongan lemah? Perkara ini tidak sepatutnya
berlaku.
Belum lagi disentuh soal aktiviti yang dijalankan ketika
berada di dalam kem yang seolah-olah menggalakkan lagi percampuran antara
pelatih lelaki dan perempuan.Memang ada kem yang sangat ketat dalam soal ini
tetapi bagaimana pula dengan kem-kem yang tidak menekankan soal ini?
Pelatih-pelatih perempuan dibiarkan menari menggedik-gedik di hadapan pelatih
lain. Maka tidak hairanlah jika ada pelatih yang hamil ketika berada di dalam
kem.Pelatih ‘bertemu jodoh’ ketika berada di dalam kem juga tidak kurang
hebatnya.Apakah PLKN ini fungsinya untuk mencari pasangan hidup? Jika
begitu,lebih baik ditukar sahaja nama Program Latihan Khidmat Negara itu kepada
Program Khidmat Mencari Jodoh.
Program Latihan Khidmat Negara yang dikatakan mahu
menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan orang muda kini dirasakan seperti
menjadi penyumbang pula kepada masalah kepincangan golongan muda.Golongan muda
kini semakin tidak malu melakukan perbuatan terkutuk dan tiada adab.Apakah ini
yang kita mahukan? Pastinya tidak.
Kesimpulannya, saya tetap dengan pendirian saya dengan
berpendapat PLKN ini wajar dihentikan.Jika saya mempunyai anak pada masa
hadapan nanti, saya juga tidak mahu anak saya menyertai PLKN kerana bimbang
akan jaminan keselamatan yang diberikan dan pengaruh yang tidak baik ketika
kem.
Akhir kata,saya menulis pendapat saya. Tidak bermakna saya
mahu anda bersetuju dengan saya. Saya cuma ingin mengajak anda untuk berfikir.Berfikir
untuk kebaikan bersama.
Allah bagi kita akal untuk berfikir,
Allah bagi kita hati untuk menilai.
Sumber :
0 comments:
Post a Comment