Friday, 3 January 2014

Filled Under:
,

Siapa yang sesat??

Siapa yang sesat??

oleh Mohd Ashraf Idris


Tulisan ini saya tulis selepas saya anjurkan debat terbuka di facebook antara Benz Ali dan Abu Ubaidah Al Arabi tentang “Siapa itu Ahlul Bait?” Respon yang pelbagai saya terima terhadap anjuran debat ini. Diantara respon yang paling tidak masuk akal yang saya terima ialah “Mengapa perlu anjurkan debat tentang aqidah? Sudah terang-terang syiah itu sesat. Debat ini memberi ruang kepada syiah menyebarkan fahaman sesat mereka. Enta bertanggungjawab jika ada orang awam yang terpengaruh dengan syiah.”


            Demikian respon dari beberapa orang mahasiswa yang saya terima. Kenyataan sebegitu menonjolkan lagi kejahilan dan kehancuran pemikiran sang mahasiswa. Mereka menutup serapat mungkin perbincangan berkaitan aqidah kononnya untuk menjaga aqidah mereka daripada pengaruh ajaran sesat. Perkara ini sangat kontradik dengan apa yang dilakukan oleh para ulama zaman berzaman di mana mereka lebih awal berdebat tentang aqidah. Hatta pengasas ahlus sunnah wal jamaah sendiri iaitu Imam Abul Hasan Asya’ri pernah berdebat dengan gurunya Abu Ali al-Jubba’I yang berfahaman muktazilah berkenaan dengan aqidah sehingga menyebabkan beliau keluar dari fahaman tersebut dan membentuk fahaman ahlus sunnah wal jamaah.
                  
                   Usaha debat tidak terhenti setakat itu malah disambung oleh para ulama sehingga kini. Syeikh Ahmad Deedat, Dr Zakir Naik dan ramai lagi sudah berdebat tentang aqidah secara terbuka dan disaksikan orang awam. Malah para asatizah sunni di Malaysia juga berdebat dengan syiah di masjid-masjid secara terbuka. Apakah mereka jahil? Sebutkan kalam atau fatwa ulama yang melarang debat aqidah jika ada.


Kamu sesat, saya kebenaran


Respon lain yang saya terima ialah “Kalau boleh penganjur mesti membuat kesimpulan di akhir debat bahawa Islamlah agama yg benar dan syiah itu sesat.” Saya menolak untuk memberi kesimpulan begitu kerana bukan kerja saya menghukum siapa benar dan siapa sesat. Saya hanya menunjukkan kaedah atau cara untuk mencapai kebenaran iaitu dengan mengajak manusia supaya mengumpulkan maklumat secara kolektif. Jangan hanya membaca buku dari satu aliran sahaja. Begitu juga jangan mendengar kuliah atau ceramah dari satu aliran pemikiran sahaja. Sebaliknya carilah maklumat secara kolektif untuk membuat penilaian dengan lebih tepat.

            Jika saya tanya kepada semua islamis agama manakah yang paling benar, tentu jawapan mereka ialah agama Islam. Saya tidak terkejut dengan jawapan itu kerana mereka membesar, berguru, bermasyarakat dan hidup dalam kalangan masyarakat Islam. Mereka menerima informasi tentang Islam lebih banyak dari agama lain. Begitu juga jika saya tanya kepada orang kristian di negara Amerika, mereka akan menjawab agama kristian paling benar. Apa yang ada dalam minda mereka ialah Islam adalah agama pengganas, agama yang mencabul hak wanita dan agama yang kolot dari sudut pembangunan. Ini kerana begitu lah informasi yang mereka dapat. Sama kesnya jika kita tanya pada penganut syiah di Iran, tentu mereka yakin bahawa fahaman mereka lah yang paling benar. Persoalannya siapa benar dan siapa sesat?


         Dari sudut psikologinya, seseorang akan cenderung memilih pendapat atau membuat keputusan berdasarkan informasi yang ada dalam otak mereka. Jika 90% dalam otak mereka tersimpan maklumat akan kesesatan syiah, mereka akan cenderung mengatakan bahawa syiah itu fahaman yang sesat. Kes yang sama berlaku dalam politik dimana seseorang akan cenderung menyokong parti pembangkang jika mereka hidup dalam keluarga dan masyarakat yang membenci Barisan Nasional. Ditambah pula mereka sering membaca maklumat daripada media pembangkang yang sering mendedahkan kezaliman pemerintah dan menutup ruang maklumat daripada kerajaan. Sudah tentu keputusannya berat sebelah.

            Apa yang anda faham pada situasi ini? “Seorang lelaki datang solat subuh secara berjemaah. Setelah selesai solat beliau bangun untuk solat dua rakaat.”


Orang A: “Dia ni tak belajar agama kah. Mana ada solat sunat selepas subuh.”

Orang B: “Hmm, ada pendapat yang mengatakan boleh qadha solat sunat sebelum subuh jika tak sempat tunaikan sebelum solat jemaah.”


     Maka disini apa yang kita dapat ialah seseorang itu akan menghukum sesuatu perkara berdasarkan ilmu yang ada dalam otak mereka. Orang A menghukum secara zahir kerana dia tidak tahu akan adanya pendapat yang membolehkan qadha solat sunat sebelum subuh. Manakala orang B bersangka baik bahawa berkemungkinan lelaki itu qadha solat sunat sebelum subuh berdasarkan ilmu yang dia ada.

       Jadi siapa yang sesat kalau macam tu? Penulisan ini bukan untuk memberitahu siapa yang sesat dan siapa yang benar. Tetapi saya ingin menunjukkan bahawa betapa pentingnya mengambil ilmu secara kolektif supaya kita dapat membuat keputusan dengan lebih tepat. Menutup ruang ilmu dari aliran yang tidak sebulu dengan kita merupakan tindakan yang tidak bertamadun sama sekali. Bagi saya sendiri, aliran yang sesat perlu dibuktikan dengan hujah ilmu dan bukannya dengan kuasa. Tindakan mengharamkan buku-buku dan mengharamkan sesuatu aliran akan membunuh intelektual dalam kalangan masyarakat. Memetik kata-kata F.A. Hayek " Halatuju masyarakat hanya akan berubah menerusi perubahan dalam soal IDEA. Anda mesti terlebih dahulu mendepani para cendekiawan, guru dan penulis dengan hujah yang munasabah. Pengaruh mereka ke atas masyarakat yang akan memberi kesan, manakala ahli-ahli politik akan menurut."

Silap memberi fakta

Tindakan menutup ruang ilmu akan menyebabkan kita tersalah dalam mengeluarkan fakta. Contohnya antara respon lain yang saya terima ialah “bagaimana kalau orang syiah buat penipuan semasa menceritakan tentang kefahaman syiah? Yang kita tahu, syiah ni berpegang pada taqiyah. Menipu ni satu pahala.” Saya rasakan ini lah antara satu kesilapan besar pengikut sunni. Mereka mendengar dari asatizah sunni dan kemudian copy paste sebagai hujah. Mereka tidak mengambil sumber primer iaitu daripada syiah sendiri sebaliknya mereka mengambil sumber sekunder iaitu daripada asatizah sunni. Ini yang berlaku jika kita hanya membaca dari satu aliran sahaja. Tindakan sebegini akan menyebabkan orang syiah mentertawakan kita kerana kedangkalan kita dalam berhujah.

      
          Pertamanya, adakah ada manusia dalam muka bumi ini yang sanggup mengamalkan satu ajaran yang mengajar supaya menipu selalu dan akan diberi ganjaran pahala? Dari situ sahaja sudah menampakkan kedangkalan dalam berhujah. Ya, memang ada teks dari kitab syiah yang mengatakan demikian. Al-Kulaini dan Ibnu Babawaeh al-Qummi telah meriwayatkan dari Jaafar al-Saadiq ketika menafsirkan firman Allah surah al-Qasas ayat 54 dengan berkata “Mereka menolak kejahatan dengan kebaikan (al-Raad: 22) dengan katanya: Kebaikan itu adalah taqiyyah dan kejahatan itu berterus-terang. Dia juga telah berkata: Sembilan persepuluh daripada agama itu adalah taqiyyah. Dan sesiapa yang tidak beramal dengan taqiyyah bukanlah orang-orang yang beriman. Katanya lagi: Aku telah mendengar ayahku berkata: Aku amat cinta akan taqiyyah. Sesiapa yang beramal dengan taqiyyah akan diangkat martabatnya. Juga katanya: Taqiyyah merupakan agamaku dan juga agama datuk nenekku. Sesiapa yang tidak berpegang kepada taqiyyah, dia bukanlah seorang yang beriman (al-Kulaini, al-Kafi di dalam bab taqiyyah).

           Nah saya berikan sekali teksnya. Terkejut bukan? Seolah-olah syiah agama yang jahat dan anjurkan menipu bukan? Saya tambah lagi kenyataan dari Ibnu Babawaeh al Qummi yang mengatakan “Kami berpendapat taqiyyah adalah wajib. Sesiapa yang meninggalkannya seolah-olah dia meninggalkan fardhu yang lain seperti solat. Sesiapa yang meningalkannya sebelum munculnya Imam al-Mahdi, dia telah terkeluar daripada agama Allah, Rasulnya dan agama Imam-imam (Ibnu Babawaeh al-Qummi, Aqaid al-Syiah al-Imamiah). 

      Daripada teks-teks sebegini lah para asatizah sunni menjadikan ianya dalil dalam menyesatkan syiah. Saya tidak kisah mengatakan syiah sesat kerana saya juga bersetuju bahawa mereka sesat. Namun dengan membaca teks secara literal tanpa memahami sebab terbitnya ungkapan itu akan menyebabkan kita diketawakan oleh puak syiah. Ini kerana syiah berpendapat bahawa ungkapan itu keluar di zaman kemelutan politik yang tidak membenarkan syiah mengamalkan ajaran mereka secara terangan. Bilamana zaman berubah dan kekalutan politik juga telah berakhir, semakin kurang jugalah pegangan Syiah terhadap taqiyyah sehingga ada yang bependapat: Mereka tidak mengharuskan taqiyyah kecuali sesiapa yang bimbang akan keselamatan jiwanya. Jikalau tidak mereka tidak mengharuskannya (al-Tusi, Mulakhas al-Muhassal).


Sekarang, adakah anda faham tujuan penulisan saya? Saya tidak mengajak anda untuk bertoleransi dengan syiah. Tetapi saya mengajak anda untuk banyakkan membaca, banyakkan mengkaji dari pelbagai aliran, buka minda seluas mungkin dan paling penting JADI PANDAI ! Cukuplah kita diketawakan syiah dan diperlekehkan. Saranan saya, jangan takut untuk berfikir !




  

0 comments:

Post a Comment

Copyright @ 2013 PI- GEN.