Krisis Pendidikan: Pembunuh Senyap Potensi Individu
oleh Nur Fadhilah Zaharin
"Kita ada krisis pendidikan yang mencemaskan."
Itu antara kata-kata yang dilontarkan oleh Dato Dr Siddiq Fadzil sewaktu ucaptama beliau di Konvensyen Pendidikan TFTN Kali Kedua, 21 Disember yang lalu. Saya kira kata-kata beliau ini sudah cukup menyedarkan kita akan perlunya kita berbuat sesuatu dengan sistem pendidikan sedia ada. Kata-kata ini bukan keluar daripada seorang yang terlibat dalam bidang pendidikan cuma selama 10 atau 20 tahun bahkan lebih 50 tahun lamanya.
Kata-kata jujur ini merobek
perasaan untuk terus mengenalpasti apakah yang selama ini diperkatakan di
berita-berita di televisyen atau di dada-dada akhbar adalah pembohongan
semata-mata bilamana setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan, hal-hal yang
menyenangkan selalu didendangkan buat halwa telinga rakyat jelata. Seolah-olah
tidak ada apa-apa yang perlu dikhuatirkan mengenai sistem pendidikan di negara
ini.
Saban tahun ramai ibu bapa yang
meraikan kejayaan anak-anak mereka apabila keputusan peperiksaan diumumkan.
Anak-anak yang berjaya diberi bermacam-macam bentuk penghargaan termasuk dibawa
bercuti, dibelikan hadiah dan sebagainya. Dalam menyambut kegembiraan itu, kita
lupa apakah nasib pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik yang berada di
kelas corot. Mereka terus disisihkan. Kita masih menutup mata dengan menganggap
bahawa kes mereka adalah kes terpencil walhal tanggapan itu sendiri adalah satu
tanggapan kejam buat anak-anak tersebut yang sebenarnya mempunyai impian untuk
berjaya dalam hidup. Jika kita memandang kes mereka sebagai kes terpencil,
apakah kita masih boleh menganggap yang demikian apabila tinjauan oleh YB Nurul
Izzah Anwar di sebuah sekolah rendah di bandar menemukan 40 orang pelajar
darjah 6 yang masih belum mampu untuk membaca?
Ibu bapa masih tidak sedar akan
potensi anak-anak mereka sebaliknya terus menghukum dan menghukum tanpa
memahami realiti sistem pendidikan yang semakin menjerut anak-anak tersebut.
Guru-guru di sekolah pula masih sibuk membuat kerja-kerja perkeranian sehingga
tidak ada masa memikirkan nasib anak-anak kelas bawah yang masih tidak tahu
membaca. Mahasiswa pula masih terlibat dengan program-program di dalam kampus
sahaja yang membawa corak lama. Jauh sekali untuk melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti
oleh badan-badan non-partisan yang lebih bersifat independen dalam mendepani
realiti sebenar. Tenaga muda mereka yang sepatutnya digembleng untuk membantu
anak-anak seperti ini tidak digunakan sebaliknya mereka masih sibuk berebut
tempat parking di dalam kampus.
Jika ditanya kepada anak-anak
yang ponteng tentang apakah sebab mereka ponteng ke sekolah, mungkin mereka
enggan dan segan untuk memberikan jawapan secara jujur tetapi jauh di benak
fikiran mereka, terlakar monolog bahawa, “Sekolah tidak ada kasih sayang. Kasih
sayang cuma untuk anak-anak yang pandai!”
Jurang Pendidikan
Negara telah memperuntukkan perbelanjaan bagi
sektor pendidikan berbillion-billion ringgit setiap tahun. Bagi tahun 2014 ini,
negara melabur sejumlah RM
54.6 bilion atau 21% daripada keseluruhan peruntukan belanjawan negara bagi
sektor tersebut. Namun apakah natijahnya daripada pelaburan itu sekiranya ia
masih tidak dapat menyelesaikan jurang perbezaan yang sangat ketara antara
sekolah bandar dan sekolah luar bandar? Apakah peruntukan sebesar itu cuma digunakan
untuk menjayakan projek besar-besaran ataupun menambah gaji perkhidmatan
sahaja?
Jurang pendidikan
antara gender juga semakin melebar dalam lima tahun kebelakangan ini berdasarkan
rumusan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 sehingga ada pihak yang
mengatakan bahawa sistem pendidikan yang digunapakai sekarang ini adalah “Sistem
Pendidikan Perempuan”.
Anak-anak terus
diasak untuk menjadi doktor dan jurutera kerana memandang kepada kekayaan dan
kemegahan. Apakah keadaan ekonomi negara kini begitu meruncing hinggakan
anak-anak dihantar ke sekolah dan universiti bagi menghasilkan duit? Adakah
sekolah dan universiti sekarang adalah kilang menghasilkan duit? Jika ketirisan ekonomi pada tahun
2013 ini telah mengundang pertambahan jenayah yang melibatkan senjata api,
apakah ia juga mengundang tindakan kita untuk menjadi ‘pembunuh senyap’
terhadap potensi anak-anak yang mempunyai prestasi corot?
Di sekolah, anak-anak mempunyai
peluang yang tipis dalam mengenalpasti bakat mereka. Bidang yang ditawarkan di
sekolah adakalanya terlalu terhad hingga membawa kecelaruan kepada anak-anak
yang kurang menonjol dari segi penghafalan teori. Kesannya boleh dilihat sampai
ke peringkat universiti di mana walaupun keputusan SPM mereka memberangsangkan
(tetapi tidak terlalu cemerlang), mereka masih keliru memilih bidang yang
mereka benar-benar berkemampuan untuk mengambilnya.
Bidang sastera terutamanya masih
dipinggirkan di sekolah-sekolah dan kelas-kelasnya ditempatkan murid yang
kurang pandai dalam akademik dan dalam bidang sains. Penekanan bidang sastera
dan falsafah juga jelas dipinggirkan bilamana tidak ada satupun universiti di
negara kita yang mempunyai jabatan atau fakulti falsafah sedangkan fakulti
falsafah telah dibuktikan kehebatannya apabila berada di 10 buah universiti
terbaik di dunia.
Rugilah jika negara mengabaikan
bakat-bakat besar yang terpendam pada generasi ini sebaliknya terus-menerus
hanya memberi keistimewaan kepada mereka yang mencebur bidang sains dan
teknologi.
Sir Ken Robinson dalam memulakan syarahannya berkata bahawa setiap seorang daripada kita
mempunyai bakat asli yang sungguh besar. Pendapat ini disokong oleh kajian
George Land pada tahun 1968, yang mana beliau memberikan sebuah ujian
kreativiti NASA kepada 1,600 kanak-kanak 5 tahun. Ujian itu mendapati bahawa 98
peratus daripada kanak-kanak yang diuji menunjukkan tahap kreativiti yang
genius.
Ken Robinson seterusnya
telah mengatakan bahawa sistem pendidikan yang terlalu rigid dan sempit, dengan
aspek kesenian, kemanusian dan program pendidikan fizikal yang semakin
ditinggalkan, serta budaya obsesif terhadap ujian-ujian dan peperiksaan telah
menyebabkan kadar kreativiti kepada murid-murid semakin menurun dengan kadar
yang amat mengejutkan.
Dalam ujian George Land
tadi, apabila ujian yang sama diberikan kepada kumpulan kanak-kanak yang sama
apabila mereka berumur 10 dan 15 tahun, kadar kreativiti telah menurun, dengan
hanya 30 peratus dan 12 peratus berada di tahap kreativiti genius.
Mendepani Realiti
24 Disember lalu, laporan Bank Dunia mencatatkan
bahawa sistem pendidikan Malaysia yang berpusat dalam mengawal
pengambilan dan rancangan perbelanjaan menyumbang kepada prestasi buruk pelajar
dalam pengajian mereka.
"Sekitar 65% daripada pengambilan guru dilakukan oleh kerajaan dan bukannya sekolah itu sendiri, berbanding dengan hanya 5% di Korea Selatan, di mana sekolah-sekolah awam mempunyai lebih autonomi," kata laman berita The Wall Street Journal yang memetik laporan Bank Dunia.
Kongkongan
daripada kerajaan menyebabkan guru-guru terpaksa tunduk pada citarasa kerajaan
dalam membentuk pelajar bukan guru-guru sendiri yang semestinya lebih tahu hal
ehwal pelajar yang merangka pelan pengajaran buat anak-anak murid. Sekalipun
sistem yang digunapakai dilihat efektif pada negara-negara luar, ia tidak
semestinya sesuai dengan situasi dan keadaan murid-murid di negara ini.
Walaubagaimanapun,
berdasarkan analisis daripada Pejabat Parlimen Lembah Pantai menunjukkan
pelajar Tingkatan 3 Malaysia setaraf dengan pelajar Darjah 5 dari Singapura dan
Korea Selatan. Berbanding dengan Vietnam pula, pelajar Malaysia lebih kurang
2.5 tahun di belakang pelajar Vietnam dalam Matematik dan 2.8 tahun di belakang
dalam Sains. Perbandingan keseluruhan di antara pelajar Malaysia dengan
Singapura, Korea dan China pula menunjukkan pelajar Malaysia terkebelakang
sebanyak 4 tahun.
Keterbelakangan
ini membuatkan pelajar-pelajar Malaysia agak ‘tenggelam’ apabila melanjutkan
pelajaran di luar negara di peringkat universiti. Seolah-olah apa yang
dipelajari di sekolah tidak banyak membantu mereka dalam meneruskan
pembelajaran.
Kita
masih memandang pendidikan sebagai hasil. Bukannya sebagai proses. Sekolah
bukan lagi tempat untuk mencipta pekerjaan sebaliknya mengemis pekerjaan.
Realitinya, pendidikan sekarang hanyalah untuk menjana pendapatan tetapi tidak
menjana idea. Hasilnya lahirlah manusia-manusia mesin dan ‘burung-burung kakak
tua’ yang cuma tahu menghafal dan mengulang idea lama tanpa ada pembaharuan
mengikut situasi zaman yang semakin mencabar ini.
Usaha kesukarelawanan yang dilakukan oleh TFTN sememangnya amatlah diperlukan buat generasi ini. Anak-anak muda dan golongan mahasiswa perlu mengambil bahagian dalam hal ini agar dapat mengecilkan jurang pendidikan. Namun, dalam bidang kesukarelawanan kita perlu akur dengan pendapat Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon yang mengatakan bahawa semangat kesukarelawanan di Malaysia masih kurang terutama dalam kalangan orang Melayu sendiri.
Saya
kira orang Melayu harus bersederhana dalam membantu golongan-golongan
tertindas
di negara luar sebaliknya lebih mengutamakan nasib bangsa mereka di
negara
sendiri. Tidak ada gunanya jika kita terus-terusan melaung pembebasan
Palestin
dan Syria jika anak-anak di negara ini masih terdampar di tepi-tepi
jalan
dengan pakaian yang comot serta compang camping. Bahkan Dr. Yusuf
Al-Qaradhawi
juga telah menjelaskan keutamaan membela keluarga terdekat berbanding
yang jauh
dalam kitab Fiqh Keutamaan yang dikarangnya. Dan sebenarnya, tanpa
merujuk kitab keutamaan juga, akal kemanusiaan yang ada pada kita
sepatutnya dapat menilai dengan cepat akan kesusahan orang yang perlu
kita sebagai manusia yang punya kasih sayang membantu dan menyelamatkan
mereka daripada kebinasaan.
Pelaksanaan sistem pula haruslah lebih autonomi supaya guru-guru dapat membuat pilihan terhadap anak-anak murid mereka. Guru-guru juga perlulah menerapkan nilai kasih sayang dalam pengajaran terhadap anak murid. Bukan kerana gaji.
Saya teringat akan kisah Joy Lobo dalam filem 3 Idiot yang membuat hati terasa sebak bila mengenangkan nasib yang dialaminya. Joy Lobo telah membunuh dirinya sendiri kerana tidak tahan akan tekanan hidup di mana potensi dan cita-citanya dibunuh begitu sahaja oleh pensyarahnya. Kerana itu berhentilah menjadi ‘pembunuh senyap’ terhadap potensi individu. Berhentilah sekejap daripada bersaing dan tolehlah ke belakang untuk melihat dan menolong nasib mereka yang keciciran. Dengarlah luahan hati anak-anak yang mempunyai nasib seperti Joy Lobo ini.
Give me some sunshine
Give me some rain
Give me another chance
I wanna grow up once again
Rujukan:
http://www.nurulizzah.com/site/2013/12/21/21-disember-2013-ucapan-di-konvensyen-pendidikan-ke-2-tftn/
http://zulfikrizamir.com/2013/12/mazhab-cinta-dalam-pendidikan/
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/laporan-bank-dunia-dedah-prestasi-pelajar-malaysia-merosot-akibat-sistem-be
Catatan Konvensyen Pendidikan TFTN Kali Kedua
Isi diskusi Bulatan Gembira 10
*Artikel ini telah tersiar di The Malaysian Insider pada 26 Disember 2013.
http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/krisis-pendidikan-pembunuh-senyap-potensi-individu-nur-fadhilah-zaharin
0 comments:
Post a Comment