Friday, 3 January 2014

Filled Under:
,

Mahasiswa, Gerakan dan Keilmuan (I)

Mahasiswa, Gerakan dan Keilmuan (I) 

oleh Nur Fadhilah Zaharin

 

Universiti pada era 60-an dan 70-an telah menyaksikan beberapa ideologi serta pegangan dicetuskan oleh mahasiswa yang masih berada pada kuantiti yang sedikit ketika itu. Universiti-universiti terawal di Malaysia seperti Universiti Malaya (UM) telah menghasilkan mahasiswa yang radikal dari sudut perjuangan melalui gerakan-gerakan yang mereka terajui seperti Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) dan Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM). Nama-nama seperti Syed Hamid Ali dan Anwar Ibrahim telah mewarnai arena kebangkitan mahasiswa pada lingkungan dekad tersebut.

  
    Pelbagai usul cadangan, bantahan dan tidak kurang juga tindakan yang dilakukan oleh mahasiswa ketika itu telah banyak mengubah corak pemerintahan negara sekaligus memberi kesedaran kepada orang awam agar tidak terus dipergunakan malah bangkit mengkritik pemerintahan sekiranya ada cacat cela yang memberi kesan ke atas hak mereka yang tidak terbela.

     Kita boleh mengambil peristiwa Hamid Tuah sebagai contoh terhadap tindakan mahasiswa membela nasib-nasib rakyat. Sejurus mahasiswa UM mendapat maklumat akan nasib yang ditimpa oleh Hamid Tuah dan petani-petani yang dirampas hak tanah mereka, Sanusi Osman yang merupakan presiden PBMUM pada ketika itu telah menyokong perjuangan yang dilakukan oleh petani-petani tersebut menyebabkan tercetusnya krisis besar dalam PBMUM sendiri. Sanusi Osman telah disangsikan tindakannya oleh anggota PBMUM yang lain tetapi itu bukanlah perkara yang mengejutkan kerana beliau anggota aktif partai rakyat yang memperjuangkan nasib proletariat di negara ini. Walaupun Sanusi Osman tidak dipercayai lagi, tetapi kita dapat membuat kesimpulan bahawa terdapatnya pemimpin yang lantang menyuarakan sokongan terhadap golongan tertindas.

     Sebenarnya banyak lagi peristiwa sekitar 60-an dan 70-an yang berlaku melibatkan mahasiswa tetapi agak panjang untuk saya perjelaskan kesemuanya di sini dan takut-takut ia lari dari tujuan asal penulisan. Cuma antara peristiwa yang dapat saya sebutkan di sini ialah demonstrasi membantah Russia, keterlibatan aktif mahasiswa dalam pilihanraya 1969 sehingga mereka sendiri mengeluarkan manifesto sebagai nilai tambah mana-mana tawaran parti politik, bantahan dasar luar Amerika, demonstrasi bantah ISA serta pelbagai lagi peristiwa yang kebanyakannya melibatkan pelajar UM.

     Daripada tindakan-tindakan yang dilakukan oleh mahasiswa-mahasiswa ini, didapati antara faktor kepada dorongan mahasiswa pada zaman itu begitu radikal adalah seperti kesan dan impak besar yang berlaku selepas darurat (1948-1960). Darurat menyebabkan timbulnya kefahaman isu perkauman, kebangkitan membantah ISA serta penubuhan Gagasan Malaysia yang ditentang oleh Indonesia. Peristiwa-peristiwa yang berbangkit berhasil mencorak daya pemikiran mahasiswa ketika itu. Adapun mahasiswa masih berada dalam kelompok kecil di tengah-tengah masyarakat menyebabkan masyarakat memandang tinggi golongan-golongan terpelajar dan suka memberi kepercayaan terhadap mereka. Faktor-faktor perubahan yang berlaku di luar negara turut memberi kesan terhadap radikalnya gerakan mahasiswa. Demonstrasi mahasiswa yang berlaku di Universiti Berkeley, US telah membawa pengaruh terhadap semangat juang pelajar Malaysia. Kemudian, tertubuhlah ‘Speakers Corner’ atau ‘Sudut Pidato’ sebagai medium bagi mahasiswa menyuarakan pendapat di UM seterusnya memunculkan lebih ramai pelajar yang berani serta bersifat radikal.

Majalah-majalah berbentuk perjuangan turut mempengaruhi pemikiran rakyat dan mahasiswa


     Jika dibanding dengan sejarah, sungguh akan kita dapati amat berbezalah keadaannya dengan apa yang berlaku pada zaman sekarang ini. Gerakan mahasiswa seolah-olah terbantut dengan prinsip menjaga kebajikan pelajar sahaja.  Dahulu pun pernah berlaku keadaan di mana pelajar cuma memfokuskan aktivisme mereka kepada gerakan kebajikan kerana pada waktu itu keadaan politik masih dalam cengkaman kerajaan akibat tindakan mengekang penularan pengaruh komunis. Pada zaman ini pula, komunis sudah tiada lalu apa yang masih menjadi halangan terhadap gerakan mahasiswa itu sendiri? Hanya mereka yang berada di dalam sistem dan yang merenung sistem mampu menjawab persoalan ini.
 
     Kita juga tidak boleh membandingkan kerendahan nilai mahasiswa sekarang dengan nilai mahasiswa dahulu kerana apa yang berlaku pada waktu dahulu telah mencorak pemikiran dan tindakan yang mereka lakukan. Kemudian, sekatan ke atas tindakan mereka juga masih kurang. Kemajuan teknologi pada hari ini sangat banyak mempengaruhi daya fikir dan tindakan mahasiswa. Jika dahulu mahasiswa hanya mengharapkan surat khabar, majalah, radio dan televisyen hitam putih untuk mengetahui perkembangan semasa, hari ini mahasiswa memperoleh pelbagai kemudahan mendapatkan maklumat tetapi sudah tentu coraknya jauh berbeza. Penghasilan pelbagai gajet terutama yang melibatkan komunikasi membuat mahasiswa perlu bijak menentukan pilihan sendiri sama ada ingin menggunakan gajet-gajet itu untuk memperoleh dan menyebarkan maklumat atau sekadar bersosial, hiburan dan bermain games


Kritik Gerakan

Dalam apa jua keadaan, manusia tidak akan terlepas daripada kesilapan walau sebaik dan sesempurna manapun kita lihat manusia itu berdasarkan pada luarannya. Jika luarnya sentiasa baik, kita tidak tahu bagaimana dalamannya pula. Bagaimana hatinya. Apakah ujian yang ditimpa Allah kepadanya yang sangat berat tetapi kita tidak tahu. Semua ini kerana kita hanya manusia yang melakukan dosa dan tidak terhindar dari kelalaian. Kerana itu jika ada yang menegur, lihatlah dahulu pada diri sendiri sebelum menilai teguran yang diberikan.

     Gerakan mahasiswa tidak seharusnya cepat melenting apabila pihak-pihak tertentu membuat teguran ke atas mereka. Tak perlu untuk dikeluarkan hujah-hujah lompong seperti, “Mereka ini cuma pandai menegur saja…” atau  ayat-ayat perasaan “Bila dah jadi pemimpin, memang ramai yang mahu jatuhkan kita…”Apakah yang terlintas di benak fikiran seorang pemimpin sejurus selepas kritikan diterima? Mana manifesto sebelum PRK yang menjanjikan untuk mengetengahkan suara orang bawahan? Kenapa tidak difikirkan dahulu solusi terhadap teguran tetapi memandang rendah pula pada individu yang menegur? Jika tidak tahan pada teguran, kenapa jawatan tersebut direbut-rebutkan suatu ketika dulu? Apakah tujuan yang sebenarnya? Bahkan nabi dan sahabat-sahabatnya juga pernah ditegur oleh sahabat-sahabat lain dalam urusan pemerintahan dan mereka sangat banyak bertolak ansur dengan teguran dan kritikan yang diberikan.

     Sekiranya kita cuma mengharapkan mahasiswa sekarang ke universiti hanya untuk belajar, mendapat keputusan cemerlang lalu beroleh kerjaya dan hidup senang lenang ketahuilah bahawa kita telah terjerat pada sikap individualistik. Walhal konsep sosial itu ada di dalam Islam sebagaimana yang nabi Muhammad ajarkan kepada kita melalui perkataan dan perbuatannya. Ke mana hilangnya nilai-nilai kemanusiaan jika mahasiswa cuma mahu membantu diri mereka sendiri dalam kehidupan dan tidak keluar mencari dan membantu golongan-golongan yang tidak terbela haknya? Isu-isu yang berlaku di dalam negara tidak diambil tahu akibat terlalu skeptik dan jijik pada politik. Malah ada juga yang menggunakan alasan mahu memanfaatkan akal mereka khas untuk pelajaran sahaja dan bukannya pada segi lain. Beginikah cerminan pemimpin yang kita mahu lihat pada masa hadapan?

     Walaupun kejayaan dan kekayaan telah diizinkan untuk manusia yang berjaya, manusia seperti ini perlu tahu ke mana mereka harus menyalurkan kekayaan dan kejayaan mereka. Apalah nilainya jika kejayaan dan kekayaan itu hanya diterjemahkan pada kereta besar, rumah besar dan isteri yang ramai? Kemudian, jika ada program-program kebajikan sekalipun, hanya program kebajikan yang dilihat eksklusif dan grand sahaja yang disertai. Mereka boleh terbang ke negara-negara Timur Tengah dan meluangkan masa dengan rakyat di sana tetapi sangat jarang sekali mendekati golongan gelandangan yang berada di jalanan, OKU, orang-orang tua, anak-anak yatim dan orang-orang miskin pedalaman di negara sendiri. Anak-anak yatim diziarahi dan diberi sumbangan hanya bila tiba musimnya pada bulan Ramadhan. Tidaklah golongan gelandangan didekati disebabkan pakaiannya yang lusuh dan badannya yang berbau. Tidaklah nasib golongan OKU terbela melainkan mereka cuma dijadikan lawak jenaka dalam rancangan-rancangan di televisyen. Di manakah letaknya perikemanusiaan?

Mahasiswa dan Buku

Lagu ‘Aku Maafkan Kamu’ nyanyian Jamal Abdillah dan Malique begitu rancak berputar di corong-corong radio tempatan. Lagu ini bukan lagu rindu tetapi sebuah madah dendam katanya. Antara bait-bait yang menggugah fikiran seperti:

Ada teratak di hujung kampung
Bawah cermin kopak ada kotak
Tersembunyi dalamnya ada tempurung
Sembunyi bawahnya katak melalak

Lirik ini berkias. Ia mengumpamakan katak itu seperti masyarakat hari ini yang kurang ilmu pengetahuan. Peribahasa yang selalu digunapakai ialah ‘Seperti katak bawah tempurung’ tetapi pada lirik ini ia lebih bersifat hiperbola kerana katak itu digambarkan seolah-olah sangat tersembunyi kedudukannya yang berada di bawah sebuah tempurung dan berada di dalam sebuah kotak. Kemudian kotak itu pula dilitupi cermin. Kesemua benda-benda ini terletak di sebuah teratak yang berada nun jauh di hujung kampung. Sifat katak yang melalak itu pula digambarkan seperti seorang manusia yang menyuarakan ketidakpuasan hatinya tetapi kosong dari segi isi dan nilai kerana jauhnya diri daripada ilmu. Kemudian, lirik terus menjentik perasaan:

Atur sepuluh daktil batal yang batil
Detik dua usul ditutup satu lagi tampil
Dari halaman rusuk kiri satu susuk ganjil
Minta diisolasi dari dalil busuk jahil
Aspirasi tak serasi dengan suara bunyi
Inkarserasi dari penghuni dan keluarga bumi
Surat wasiatnya atas paksi dalam rumi
Minta dikebumikan hidup-hidup dalam guni
Mana cepat terbang atau warna gelang tangan
Buah fikiran aneh tergantung di persimpangan
Halusinasi susuli ketandusan ihsan
Ubat parut auditori kesan artileri insan
Gagal dikesan

Timbul tenggelam, timbul tenggelam
Acapkali terpendam, acapkali tersergam
Cermin muka kopak penuh bintik hitam silam
Ini bukan lagu rindu ini madah dendam
Ku ditimbang tanpa neraca di awal usia
Ku dihukum masuk neraka oleh manusia
Minta tunjuk lubang atau pintu tak dapat jawapan jitu
Jadi aku tak berganjak biarkan saja begitu

Maafkan mereka, mereka tidak tahu
Mereka tidak ramas buku, mereka segan ilmu
Mereka tidak fasih malah fasik guna kata
Kita kongsi nama bangsa tapi tidak kasta bahasa
Maafkan mereka, mereka tiada nilai
Ibu bapa lalai dari kecil dah diabai
Tanpa kasih sayang, mereka suka menyakiti
Kita kongsi warna mata tapi tidak warna hati

Atas kepala murai sekawan
Baling ku ramit kucup lehernya
Terlalu rahi dendam di angan
Sampai terkacip mulut mahirnya

Jangan ahli sihir seru nama maharaja
Nanti segerombolan hantu bisu yang menjelma
Guna hak berfikir sebelum hak untuk bersuara
Kalau terpelajar sila guna hak miranda
Pura-pura dengar, telan tapi tidak hadam
Hafaz bila lafaz tapi mereka tidak faham

Mereka mula kiri, aku kanan bila baca
Sudah mahir rumi, mari tafsir alif ba ta

Aku maafkan kamu
Tak perlu kita bertemu
Cukup kau tahu
Yang aku
Maafkan kamu
Tolong teruskan hidup
Jangan sebut namaku

Saya tidak berkeinginan untuk mengulas panjang maksud tersirat lirik ini kerana tidak mahu terlalu jauh daripada tujuan asal artikel. Cukuplah sekadar ia difahami sendiri dengan merujuk beberapa link artikel di blog dan website yang lain sehingga kita bisa memahami realiti yang berlaku pada masyarakat sekarang. Saya cuma menebalkan bait-bait lirik yang saya kira ada kaitannya dengan topik kecil yang saya ingin bawakan.  Dan mudah-mudahan ia dapat menyuntik semangat hiburan dengan isi berbanding semangat hiburan tanpa isi. 

     Dewasa ini, pelbagai alasan diberikan oleh mahasiswa untuk menelaah buku-buku sampingan selain buku-buku pelajaran. Namun seperti kata penulis buku ‘Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang’, saudara Zul Fikri Zamir menerusi akaun twitternya:

“Saya kira ibu dari masalah masyarakat kita ialah apabila penekanan terhadap pemahaman pembacaan tidak lagi dititikberatkan di awal persekolahan. Kerana itu masyarakat kita tidak punya budaya membaca. Kerana jika membaca - mereka sebenarnya tidak faham. Ini menyebabkan mereka malas untuk membaca. Dan ini menerangkan situasi murid 12 tahun atau 17 tahun - jika diuji pemahaman terhadap teks - tidak dapat menjawab secara kritikal bahan tersebut (silakan uji teori ini). Akhirnya mereka ini tidak dapat membezakan apa itu komunisme, sosialisme atau liberalisme (sebagai contoh) kerana mereka tidak membaca luas dan mendapat pemahaman konteks (idea dan teori) yang sebenar.”

“Jalan pantas - mereka akan menonton Youtube ustaz kegemaran mereka dan ketawa berdekah-dekah (sambil rasa bangga kerana lebih beragama setelah menonton 147 klip Youtube ustaz kegemaran mereka).”

Ini realiti keilmuan kita. Realiti ini telah pun diselitkan juga dalam lirik lagu 'Aku Maafkan Kamu' itu:

Pura-pura dengar, telan tapi tidak hadam
Hafaz bila lafaz tapi mereka tidak faham

Mereka mula kiri, aku kanan bila baca
Sudah mahir rumi, mari tafsir alif ba ta


     Jika dahulu di sekolah kita didedahkan dengan kempen membaca buku dan program NILAM, namun sejauh mana kempen dan program itu berkesan? Jika yang melaksanakannya juga tidak menyahut betul-betul seruan, apatah lagi mereka yang dikehendaki untuk menyahut seruan? Sedangkan guru-guru juga jauh dari amalan membaca, bagaimana pula mahu mendidik pelajar untuk meramas buku selain buku pelajaran yang selalu digunapakai untuk mendapat ‘A’ dalam peperiksaan?


     Kembali kepada realiti mahasiswa. Saya sudah dua kali mengulas tentang baucar buku pada entri blog dan saya kira tidak ramai pihak yang peduli isu ini kerana ia nampak agak terpencil berbanding isu-isu lain seperti GST, TPPA, gula dan minyak petrol. Ketahuilah kita masih ketinggalan dari sudut pembacaan berbanding negara-negara maju yang lain. Rakyat Malaysia masih ketinggalan jauh dengan purata seorang rakyat membaca hanya dua buah buku setahun. Angka itupun mungkin disebabkan usaha golongan intelektual di negara ini yang menyebabkan bilangan buku itu dibahagi sama rata terhadap sebilangan golongan biasa yang mungkin juga tidak membaca langsung dan boleh disifatkan seperti katak di dalam lagu 'Aku Maafkan Kamu' itu. Jika hendak dibandingkan dengan negara Amerika dan Kanada, nescaya kerdil sekalilah kita ini kerana mereka mencatat purata paling tinggi iaitu 17 buah buku setahun bagi seorang rakyat.

     Kita di sini masih lagi mencipta pelbagai alasan - tidak minat, buku mahal, sibuk dan sebagainya sedangkan negara-negara maju telah terus bangkit mencipta kemajuan melalui pembacaan. Adapun sesetengah kelompok masyarakat mengemukakan teori – jika membaca secara random, akan timbullah kesesatan dalam diri. Kalau inilah teori yang dipegang secara meluas dan tidak ditumpukan dan dikhususkan pada keadaan-keadaan tertentu (seperti pembacaan buku berjilid), nescaya akan ramailah lagi yang malas untuk berfikir sedangkan Allah telah menyuruh manusia untuk berfikir - ‘afala tatafakkarun’.

     Mereka begitu curiga sekali pada bacaan-bacaan barat yang dikhuatiri mampu menggugah iman sedangkan Ibnu 'Arabi juga mempunyai pengaruh kepada golongan pemikir Kristian dalam idea-idea pluralisme. Begitu juga dengan tokoh-tokoh keilmuan Islam lain yang mengambil begitu banyak teori daripada barat.

     Pembacaaan pula seolah-olah cuma dikhususkan di pusat-pusat pengajian. Ada yang berkata bahaya baca buku tanpa ada guru. Ia mungkin benar dari konteks agama dan memang perlu untuk ia dikawal oleh seorang yang beragama Islam. Namun, kita tidak boleh menyamakan konsep itu dengan genre buku yang lain seperti buku psikologi, teknologi, politik dan banyak lagi jenis buku yang lain kerana isi-isi yang terdapat dalam buku-buku itu berguna untuk membangunkan individu dan negara. Jika kita mengkhususkan buku hanya untuk ditelaah di pusat pengajian, bagaimana pula situasinya mereka yang berada jauh daripada pusat pengajian tersebut? Atau yang menghadapi kesukaran untuk ke majlis ilmu disebabkan sakit dan sebagainya? Apakah kita ingin membiarkan dan membenarkan mereka supaya tetap terus berada di dalam kesesatan dan menganggap dosa mereka sudah diampun Tuhan?

        Ketika nabi mula-mula mendapat wahyu, Allah telah menurunkan ayat yang menyuruh manusia untuk membaca. ‘Iqra!’ Tetapi berapa ramai daripada umat Muhammad sendiri yang melaksanakan

suruhan tersebut pada zaman ini melainkan sedikit sekali bilangannya berbanding orang bukan Islam. 
Wallahualam.
 
*senarai rujukan akan dilampirkan pada artikel (Mahasiswa, Gerakan dan Keilmuan II )

0 comments:

Post a Comment

Copyright @ 2013 PI- GEN.