ULASAN LAMBAIAN KASIH
Tarikh: 13 Julai 2013
Lokasi: Guar Chempedak dan Pendang, Kedah
Program Lambaian Kasih membawa kami mendekati sebuah keluarga di
Kampung Perupuk, Guar Chempedak, Kedah. Menyelami kehidupan mereka membuat diri
tersedar akan banyaknya nikmat yang harus disyukuri dalam kehidupan ini. Hukum
alam itu sentiasa berputar. Kebaikan dibalas kebaikan. Kedua-dua pihak mendapat
manfaat walaupun tidak sama dari segi rupa bentuknya. Rasa terharu apabila
mereka sanggup menyediakan makanan apa adanya dan memberi sejumlah besar
buah-buahan bermusim yang terdapat di sekeliling rumah mereka kepada kami.
Inilah titik permulaan kepada jalinan silaturrahim bersama keluarga yang sudah
menjadi keluarga angkat kami ini.
Kemudian, wakil kami menelusuri pula kawasan Pendang, Kedah untuk melawat dan memberi sumbangan kepada dua buah keluarga yang kurang bernasib baik. Seorang ibu bernama kak Ina mempunyai seorang anak yang mempunyai masalah kesihatan. Kak Ina menghadapi kesukaran untuk membiayai rawatan buat anaknya itu berikutan dirinya sendiri sahaja yang menyara keluarganya. Suaminya pula adalah penagih dadah yang tegar dan tidak membantunya untuk mencari pendapatan.
Rumah Mak cik Ina dan keluarga di Pendang, Kedah |
Setelah itu, lawatan diteruskan ke rumah kak Mah yang berstatus ibu tunggal berikutan suaminya yang telah meninggal dunia. Kak Mah menghadapi kesukaran dalam menyara 5 orang anaknya kerana dia sendiri menghadapi penyakit jantung dan kencing manis.
Segala kutipan dan sumbangan derma yang telah dikumpulkan daripada orang ramai telah diberikan kepada ketiga-tiga keluarga ini. Pihak kami mengucapkan jutaan terima kasih atas segala sumbangan yang diberikan dan semoga setiap sumbangan itu diberi ganjaran oleh Allah S.W.T.
Walaubagaimanapun, setiap sesuatu yang baik pasti
ada kekurangannya. Kami memohon maaf sekiranya terdapat kekurangan di sepanjang program ‘Lambaian Kasih’ yang baru sahaja
dilaksanakan dalam komuniti Bulatan Gembira ini. Terima kasih untuk semua yang hadir dan semoga berjumpa lagi!
0 comments:
Post a Comment