Ukhuwah Islamiah
Oleh Nur Fadhilah binti Zaharin
Daripada
Abu Hamzah Anas bin Malik r.a., pembantu Rasulullah SAW, Baginda bersabda:
لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لأَخِيْهِ مَا
يُحِبُّ لِنَفْسِهِ
Maksudnya:
“Tidak beriman (secara sempurna) seseorang kamu hingga dia mencintai
saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri.”
(Riwayat
al-Bukhari no.13, Muslim no.45 dan Ahmad no. 18076)
Para
ulama berkata bahawa “tidak beriman” yang dimaksudkan dalam hadis di atas ialah
“iman tidak sempurna”, bukan tidak beriman langsung. Maknanya seseorang itu
tidak sempurna imannya apabila tidak mencintai saudaranya seperti mencintai
dirinya sendiri.
Abu Amr
bin Shalah berkata:
“Perbuatan
seperti itu terkadang dianggap sukar untuk dilaksanakan seseorang. Sebenarnya
tidak demikian, kerana apa yang dimaksudkan ialah iman seseorang tidak sempurna
sehingga dia mencintai kebaikan untuk saudaranya sesama Muslim seperti
mencintai kebaikan untuk dirinya sendiri.” [1]
Apa
Sebenarnya Ukhuwah?
Ukhuwah
adalah suatu proses mencipta dan memelihara ikatan antara manusia yang berada
dalam sesuatu kelompok yang tertentu. Sejarah banyak membuktikan bahawa
kejayaan sesuatu kaum itu banyak bergantung kepada kaum itu sendiri. Cara
mereka berinteraksi serta berkomunikasi antara satu sama lain mempengaruhi
hasil dan maslahat yang diberikan.
Ukhuwah yang kuat selalunya terbina dalam
kalangan organisasi-organisasi berpengaruh. Tidak hairanlah jika
organisasi-organisasi seperti ini mempunyai pengikut yang setia walaupun
organisasi mereka menghadapi banyak cabaran kerana awal-awal lagi mereka telah
meletakkan ukhuwah sebagai asas.
Kenapa
Manusia Perlu Berukhuwah?
Suatu
keutamaan yang mesti kita berikan perhatian adalah kewajipan yang berkaitan
dengan hak orang ramai yang sewajarnya kita dahulukan berbanding dengan
kewajipan yang berkaitan dengan hak individu. Sesungguhnya seseorang individu
tidak akan dapat mempertahankan dirinya tanpa orang ramai, dan dia juga tidak
dapat hidup bersendirian kerana sesungguhnya manusia adalah makhluk yang
memiliki kecenderungan untuk berkumpulan seperti yang dikatakan oleh para
ilmuwan Muslim terdahulu. Manusia adalah makhluk sosial sebagaimana yang dikatakan
oleh ilmuwan moden. Seseorang akan mempunyai nilai yang kecil sekiranya dia
bersendirian dan akan menjadi besar nilainya seandainya dia bersama-sama dalam
kumpulan orang ramai. Bahkan dia dianggap tiada ketika dia bersendirian dan
barulah dia dianggap ada ketika dia bersama-sama dengan kumpulannya.
Atas dasar itu, kewajipan yang berkaitan
dengan hak orang ramai atau umat sewajarnya lebih diutamakan daripada kewajipan
yang berkaitan dengan hak individu. [2]
Manusia
dan Ukhuwah
Sering
meniti di bibir-bibir pemimpin sesebuah jemaah Islam perkataan ukhuwah apabila
fikiran itu meminta untuk berbicara mengenainya bila jemaah dilihat tidak
bersatu atau sekadar mengisi ruang-ruang kosong di dalam sesebuah pertemuan.
Namun, sejauh mana perkataan ukhuwah itu wujud pada diri? Apakah ukhuwah ini
dirasakan terlalu berat dan payah hingga ahli-ahli jemaah beralih kepada jemaah
lain yang dirasakan lebih sesuai dan kena pada diri mereka?
Oleh itu, bila berbicara tentang konsep
ukhuwah, saya lebih gemar untuk memperincikan konsep ukhuwah itu satu-satu.
Perkataan ukhuwah itu terlalu general dan kurang dari segi contoh dan idea yang
boleh dibawakan.
Apa yang cuba saya maksudkan di sini ialah
ukhuwah itu di bawahnya terdapat pelbagai ciri-ciri yang boleh diangkat seperti
cara percakapan dan tindak balas terhadap sesuatu perkara. Bila adanya
pertemuan, secara automatiknya telah berlaku ukhuwah dan apa yang perlu
dipelihara selepas itu adalah dari segi bagaimana cara kita berkomunikasi,
memberi serta menerima sesuatu pandangan, kemahiran mendengar dan adab-adab
yang perlu dijaga sepanjang pertemuan diadakan. Perkara-perkara ini seharusnya
diangkat berbanding kita hanya membicarakan ukhuwah itu secara zahir sahaja.
Ukhuwah juga selalunya dikaitkan dengan
kemanisan hubungan antara sahabat tetapi apakah kita tahu, sepanjang ukhuwah
itu apa yang telah kita lakukan? Adakah ia sekadar kita berbual kosong, makan
dan minum sahaja?
Manisnya ukhuwah itu adalah apabila
terlihatnya situasi ‘give and take’. Ada yang memberi dan ada yang menerima dan
proses ini berulang alik sesama ahli. Apa yang boleh diberikan adalah harapan,
kata-kata semangat dan apa jua bentuk perkongsian yang mampu mengisi kekosongan
jiwa setiap daripada ahli. Dengan itu, objektif ukhuwah lebih mudah tercapai.
Ukhuwah
dan Jemaah
Dalam
beberapa keadaan, kita tidak boleh memaksa seseorang untuk bersama kita kerana
setiap manusia dilahirkan berbeza dari segi pemikiran. Bahkan golongan sahabat
dan ulama juga banyak berlaku khilaf lalu membawa diri masing-masing ke kelompok
yang disenanginya. Ini semua disebabkan oleh perbezaan pemikiran.
Kita mungkin berniat baik untuk menarik
seseorang ke dalam jemaah kita kerana merasakan jemaah kita mampu mengubah
individu tersebut menjadi lebih baik hasil islah, dakwah dan tarbiah yang
jemaah kita laksanakan. Namun, tujuan utama kita bukanlah untuk menarik
mana-mana individu ke dalam jemaah tetapi adalah untuk menarik mereka kepada
Allah, rasul-Nya dan juga Islam. Apabila roh sudah terpisah daripada jasad,
bukanlah jemaah yang dapat menyelamatkan kita tetapi agamalah yang bakal
menentukan perjalanan kita selepas itu.
Banyaknya
jemaah di dunia ini adakalanya membuat kita keliru. Dalam kita memilih sebuah
jemaah yang baik, ia perlukan prinsip utama untuk dicapai iaitu supaya kita
mendapat petunjuk dari al-Quran dan sunnah. Jika kita terus berpegang kepada
prinsip ini, jemaah bukanlah sesuatu yang begitu penting untuk difanatikkan.
Rujukan
[1] Zahazan
Mohamed, Muhammad Zakaria, “Hadis 13: Ukhwah Islamiah” dalam Hadis 40 Imam
Nawawi, m/s 67- 68, Telaga Biru Sdn. Bhd.
[2] Yusuf
al-Qaradhawi, “Keutamaan terhadap Hak Orang Ramai berbanding dengan Hak
Individu” dalam Fiqh Keutamaan, m/s 206-207, Blue-T Publication Sdn.
Bhd.
0 comments:
Post a Comment