HAK SEORANG PADUSI
oleh
Noorsashareena Adnan
Pada 7 Januari 2013, Kosmo! melaporkan
seorang isteri berumur 27 tahun di
Kangar terpaksa dirawat di hospital akibat dibelasah
teruk oleh suaminya menggunakan kerusi, lesung
batu, bingkai gambar dan pisau, kerana suami beliau mengesyakinya curang. Pada 29 Disember 2012, akhbar The
Star melaporkan seorang isteri berumur 17
tahun dipukul sehingga mati dengan objek tumpul oleh suaminya yang juga mengesyaki isterinya berlaku curang.Apakah
wanita itu objek yang tidak punya perasaan sehingga diperlakukan sebegitu?
Apakah wanita punya hak untuk membela nasib mereka?
Persoalan demi persoalan timbul namun jawapan tidak ketemua jua.Berbicara
soal hak wanita,persoalan pertama yang timbul adalah adakah kita benar-benar
tahu dan faham apakah itu ‘hak’ dan apakah itu ‘wanita’? Sebelum menghurai
lebih panjang, adalah lebih mapan jika kita selami dahulu apakah makna di
sebalik dua perkataan yang sering dikaitkan antara satu sama lain ini.
Wanita: orang perempuan,lawan lelaki, kaum – kaum ibu, kaum puteri
( Sumber:Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Ketiga,halaman 1545 )
.
Hak :
1. (yg) benar, kebenaran
2. Kuasa atas sesuatu atau untuk berbuat sesuatu (ditentukan oleh undang-undang, agama, adat istiadat , dll )
3. milik, kepunyaan1. (yg) benar, kebenaran
2. Kuasa atas sesuatu atau untuk berbuat sesuatu (ditentukan oleh undang-undang, agama, adat istiadat , dll )
4. yang (mana satu)
( Sumber Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka
Edisi Ketiga, halaman 428 )
Baik. Berdasarkan makna dua perkataan tersebut, jelas
menggambarkan bahawa wanita ini penuh dengan ciri – ciri kelembutan lalu
diumpamakan bagai puteri. Melayani seorang puteri haruslah dengan penuh berhati
– hati bukannya dengan memuntahkan sumpah seranah dan sepak terajang terhadap
golongan ini. Wanita selayaknya dilayani seperti seorang puteri bukanlah
bermakna wanita perlu dimanjakan sepanjang masa atau secara berlebihan-lebihan.Tetapi
apa yang dimaksudkan ialah wanita yang juga berkemungkinan ialah isteri, ibu,
atau anak bagi seseorang lelaki itu haruslah diberikan penghormatan yang
tinggi. Sepertimana seorang wanita itu menghormati seorang lelaki, begitulah
jua lelaki perlu hormati wanita.
Berkenaan hak yang dituntut oleh kebanyakan wanita jika ditelusuri
akarnya adalah berpunca daripada desakan seorang lelaki dan persepsi
masyarakat. Hak yang dituntut bukanlah untuk melawan fitrah seorang wanita atau
memperlekehkan maruah seorang lelaki tetapi untuk mempertahankan hak sebagai
seorang wanita yang sering dipandang enteng oleh kaum lelaki dan masyarakat. Hak
dituntut untuk memberi pembelaan kepada kaum wanita yang tertindas dek
kerakusan lelaki. Wanita perlu bangkit berjuang melawan kezaliman ini. Akhir-akhir ini gerakan yang memperjuangkan perubahan tersebut
secara luas disebut sebagai feminisme Islam. Tujuan perjuangan feminisme pada
umumnya adalah bagi mencapai kesetaraan harkat
(baca:taraf/darjat) dan kebebasan perempuan dalam memilih untuk mengelola
kehidupan dalam atau luar rumah tangga.
Feminisme Islam tidak boleh
disamakan dengan feminisme radikal Barat. Ia memiliki ciri-ciri keislaman yang
khas.
Gerakan Feminisme
Mendengar
perkataan ‘Feminisme’ dikira mungkin agak asing bagi segelintir masyarakat.Feminisme
ialah himpunan teori sosial,gerakan politik, dan falsafah moral yang sebahagian
besarnya didorong oleh atau berkenaan dengan pembebasan perempuan daripada pengetepian oleh kaum lelaki.Atau dalam bahasa mudahnya feminisme ini percaya
bahawa jantina tidak harus dijadikan faktor penentu yang membentuk identiti
sosial atau hak-hak sosiopolitik dan ekonomi seseorang.
Memetik
petikan rencana daripada The Malaysian Insider yang bertajuk Pengaruh
feminisme dalam pemikiran Islam oleh Mohd Shauki Abd Majid (13 November 2013) :
Lahirnya feminisme Islam adalah positif.
Ia menunjukkan betapa taraf pengetahuan di kalangan kaum wanita mulai menyamai
kaum lelaki. Gerakan ini tidak bertujuan menandingi peranan lelaki.
Secara umum gerakan ini ingin membangunkan sebuah masyarakat yang adil, lelaki
atau wanita dan membebaskan pembezaan sosial dan kasta. Tuntutan
utama feminis Muslim pada mulanya adalah untuk meningkatkan taraf pendidikan
serta membanteras buta huruf.
Di antara feminis Muslim terawal ialah
Aisyah Taymuriyah (penulis dan penyair Mesir, 1984-1902) dan Zainab Fawwaz
(Lebanon) yang berusaha memecah tembok isolasi dengan cara
berkomunikasi dengan perempuan lain yang senasib. Manakala di India, nama
seperti Rokeya Sakhawat Hussin dan Nazar Sajjad Haydar, kedua-duanya menentang
gagasan domestik perempuan yang disosialkan melalui cerita rekaan. Mereka
menulis cerita, novel dan artikel yang memuatkan gagasan pembebasan
perempuan. Karya ini akhirnya menjadi sumber
inspirasi tokoh feminis Islam lain seperti Raden Ajeng Kartini (Indonesia)
1879-1904, Emilie Ruete (Zanzibar, 1844-1924), Taj as Salthanah
(Iran) dan Nabawiyyah Musa (Mesir). Mereka menyarankan antara gagasan
pentingnya merumus kembalikan pendidikan dan pekerjaan yang sesuai untuk
perempuan.
Huda Sya'rawi (1879-1947) adalah feminis
Mesir yang patut disebut khususnya keupayaannya dalam membezakan antara tradisi
dan ajaran Islam. Idea beliau memperlihatkan adanya pengaruh gerakan
modernisme Islam yang dipelopori oleh Muhammad Abduh (Mesir) pada abad ke-18. Sya'rawi
memulakan kariernya sebagai feminis pada 1909 dengan menumpukan kepada
kepentingan faktor kesihatan untuk wanita dan anak. Organisasi sosial yang didirikannya
bersifat sekular dan menjadi wadah saluran aktiviti sama ada perempuan Muslim
atau pun Kristian. Pada 1923, Sya'rawi memimpin persatuan
feminis Mesir yang dianggap organisasi feminis pertama di dunia Arab.
Namun, pada abad ke-20, para feminis
terutama yang dipengaruhi oleh Marxisme berpendapat bahawa penindasan terhadap
golongan wanita adalah akibat konflik pertentangan kelas yang
diperkuatkan oleh ideologi gender dan agama. Ekoran fenomena ini,
maka timbul masalah peranan dan kedudukan gender yang tidak setara sama ada
dalam keluarga mahupun masyarakat yang akhirnya wanita menjadi
mangsa pengeksploitasian. Daripada generasi ini terdapat beberapa
nama yang berpengaruh besar dalam wacana feminisme Islam kontemporari. Mereka
ialah Nawal El-Saadawi iaitu seorang doktor dan feminis
Mesir yang berfahaman sosialis. Hasil penanya banyak menekankan masalah yang
dihadapi perempuan di negaranya terutama berkaitan dengan
tekanan sosial, ekonomi, psikologi malah sehingga kepada aspek seksualiti.
Manakala Fatimah Mernissi, Dekan
Sosiologi, Universiti Rabat, Maghribi dalam beberapa karyanya menafsirkan
kembali teks-teks klasik Islam daripada perspektif feminis.
Kemudian muncul tokoh feminis yang lain seperti Riffat Hassan (Pakistan), Amina
Wadud Muhsin (Amerika Syarikat), Leila Ahmad iaitu seorang feminis kelahiran
Pakistan yang menghurai akar sejarah tentang munculnya wacana perempuan dan
gender dalam Islam. Selain isu politik dan berkaitan dengan
penafsiran teks keagamaan, perkara lain yang sering dijadikan topik
perbincangan dalam karya mereka ialah pengalaman spiritual khas bagi perempuan,
misalnya berkaitan dengan fungsi reproduktif seperti dalam karya penyair Furugh
Farrukhzad dari Iran.
Sebenarnya, di samping feminis
perempuan, terdapat juga apa yang disebut feminis daripada kalangan lelaki
Muslim seperti Qasim Amin (1865-1908) dan karyanya cukup penting bagi perkembangan
pemikiran feminisme Islam. Manakala generasi feminis lelaki
kontemporari diwakili oleh Ashgar Ali Engineer (India). Karya mereka membentuk
sebuah jaringan feminis yang melintasi batas negara dan kelas. Karya
mereka menjadi acuan penting bagi gerakan feminisme di negara Islam. Dalam
konteks negara kita, organisasi feminis Islam yang menonjol ialah Sisters in
Islam yang ditubuhkan pada 1991 bertujuan menyelesaikan masalah kekerasan dalam
rumah tangga di kalangan umat Islam di Malaysia.
Wanita Di Kaca Mata Islam
Begitu
banyak kes yang melibatkan keganasan terhadap wanita.Seakan-akan dunia kembali
ke zaman dahulu di mana wanita dilayan seperti hamba..Namun,hanya Nabi Muhammad S.A.W,melalui wahyu
Illahi,mampu mengembalikan martabat dan hak-hak wanita yang hidup dalam keadaan
yang menghinakan selama berabad-abad sebelum mereka diberikan sebahagian
daripada hak – haknya.Jika disingkap sejarah, sememangnya suatu ketika dahulu wanita
itu dilayan seperti hamba dan dianggap tiada nilai maruah dalam beberapa ajaran
seperti ajaran Hindu dan Kristian serta Perjanjian Lama.Bahkan pada masa kini
juga masih terdapat sisa-sisa persepsi tidak enak dalam kalangan sesetengah
masyarakat terhadap golongan padusi ini (baca : wanita).
Aburdene
dan Nasibit ( 1193 ), dua orang pengkaji Feminist terkemuka terkejut apabila
menemukan bahawa Al-Quran tidak langsung memandang wanita itu berkedudukan
lebih rendah daripada lelaki sebagaimana
anggapan dalam agama - agama
lain.Mereka juga sedar bahawa segala perbuatan lelaki terhadap wanita di dunia
Islam adalah angkara budaya yang datangnya bukan daripada ajaran Islam dan
angkara kesalahan menafsir ajaran Islam. Carroll ( 1983 ) pula sangat terkejut
apabila mendapati bahawa wanita Muslim merupakan wanita pertama di alam ini
yang diperakui haknya dalam ekonomi dan juga dalam sektor lain.Di dalam
Al-Quran terkandungnya ayat-ayat yang menerangkan dengan terperinci tentang
peranan lelaki dan perempuan serta hak-hak kedua-dua jantina ini.
Al
– Quran berbicara mengenai perbezaan peranan yang dimainkan oleh wanita dalam
kehidupan. Wanita telah ditetapkan hak untuk mendapatkan warisan, penghormatan
dan kemuliaan. Ayat Al-Quran turut bercerita tentang peranan wanita dalam
mendukung kebenaran, melahirkan para Nabi dan mengalami penderitaan dalam
lipatan sejarah yang berbeza.Sebagai contohnya, kisah isteri Firaun yang
mengalami berbagai-bagai penderitaan demi mempertahankan keimanan terhadap
Allah ( Surah At-Tahrim : Ayat 11 ).Tidak ketinggalan juga kisah Maryam dan
mukjizatnya melahirkan Nabi Isa dan bagaimana dia menghadapi tuduhan kaumnya (
Yahudi ) yang menganggap dia sebagai orang yang hina.Maryam mendapat
penghargaan yang besar dalam Al-Quran bahkan salah satu surah didedikasikan
untuk kisahnya yang mempersona, bertentangan dengan tohmahan menghina mengenai
dirinya dan anaknya,Nabi Isa ( Surah Ali Imran : Ayat 35-37 )
Al-Quran
mengakui lelaki dan wanita setara dalam
masalah spiritual dan tanggungjawab mereka terhadap perbuatan dan pahala mereka
di akhirat.Sebagaimana yang telah dinyatakan dalam Surah An – Nisa , “Barangsiapa yang mengerjakan amal-amal
soleh, baik lelaki mahupun wanita sedang ia orang yang beriman, maka mereka itu
masuk ke dalam syurga dan mereka itu tidak dianiaya walau sedikitpun”. Dan
banyak lagi ayat-ayat Al-Quran yang membela hak wanita begitu juga hadis-hadis
sahih Nabi berkenaan wanita yang boleh kita ambil iktibar darinya.
Keganasan Rumahtangga
Desakan sekeliling
menjadi penyebab mengapa wanita terpaksa bangkit menuntut hak. Isteri yang
menderita akibat saban hari dibelasah dan dimaki hamun oleh suami sudah tidak
betah menanggung penyeksaan mental dan fizikal. Anak-anak juga turut mendapat
tempias dari amarah si bapa. Berdasarkan
kajian, setiap tahun, tiga hingga empat ribu kes keganasan rumahtangga
dilaporkan. Angka ini cuma sebahagian kecil daripada
jumlah kes secara keseluruhan. Satu
kajian anjuran Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menganggarkan
36% wanita di Malaysia pernah mengalami keganasan rumahtangga. Kajian ini diterbitkan
pada tahun 1995 namun masih relevan kerana anggaran dalam kajian WAO
adalah konsisten dengan anggaran kejadian keganasan rumahtangga di negara
lain sekarang. Tidak seorang pun daripada wanita-wanita ini patut didera, lebih-lebih
lagi dibunuh.
Pada
hemat saya, keganasan dalam rumahtangga adalah suatu jenayah yang perlu diambil
serius bukan dianggap sekadar masalah peribadi. Masalahnya kini ramai mangsa
yang lebih memilih untuk mendiamkan diri
tika menghadapi keganasan dalam rumahtangga.Mereka bimbang andai tindakan
mereka membuka mulut atau membuat laporan akan menjatuhkan maruah diri sendiri dan juga keluarga.
Persepsi sebegini harus diubah.Semua orang bertanggungjawab untuk bersuara.
Sekiranya
kita mengesyaki penderaan berlaku, ia mesti dilaporkan kepada pihak polis
dengan segera.Jika tidak sampai
bila-bila pun keganasan rumahtangga akan terus berlaku dalam masyarakat kita.Semua
pihak perlu mengambil langkah-langkah untuk menangani keganasan rumahtangga. Pihak kerajaan harus
memperketatkan penguatkuasaan Akta Keganasan Rumahtangga (AKRT), termasuk:
· Memastikan arahan dalam perintah perlindungan interim (IPO) jelas dan menerangkan perbuatan-perbuatan yang tidak boleh dilakukan oleh seorang pesalah, bukan setakat menyatakan pesalah “dihalang daripada menggunakan keganasan rumahtangga”.
Namun begitu, kita tidak perlukan undang -
undang yang ketat JIKA kita yakni masyarakat sudah dididik dengan moral yang
tinggi (akhlak) dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.Sedangkan Islam itu
sendiri kaya dengan amalan yang baik dan akhlak terpuji lalu atas alasan apakah
lagi untuk kita sebagai Muslim untuk berkelakuan persis manusia yang tiada
moral. Malulah kita untuk mengaku Islam tetapi dalam rumahtangga tetap juga
berlakunya keganasan dan kekerasan terhadap wanita.
Layanan yang diberikan
terhadap wanita langsung tidak melambangkan akhlak seorang Muslim.Soal moral
ini seharusnya dimulai sedari awal lagi.Sistem pendidikan perlu mapan untuk
menyemai moral yang tinggi dalam kalangan pelajar supaya apabila mereka dewasa
kelak, mereka menjadi manusia yang bertanggungjawab dan menghormati orang lain
tanpa rasis gender.Sekiranya tahap akhlak masyarakat sudah mencapai
ketinggian yang selayaknya akhlak seorang Muslim, maka undang-undang sudah
tidak diperlukan kerana keganasan sudah tidak terjadi lagi di negara ini yang
majoritinya ialah Muslim.
Soal Kemiskinan
Bercakap
soal kemiskinan, saya pernah terbaca di dalam buku karangan Rizuan Rahman yang bertajuk
Berubah Untuk Malaysia Baru. Saya amat tertarik dengan hujah beliau yang
menyatakan bahawa ukuran kadar kemiskinan di Malaysia adalah mengguna pakai
ukuran sewaktu. Malaysia masih belum membangun. Ukuran kemiskinan iaitu had pendapatan
isi rumah (keluarga) - Purata Garis Kemiskinan (PGK) iaitu RM661 di Semenanjung
Malaysia, RM765 di Sarawak dan RM888 di Sabah adalah tidak boleh diguna pakai.
Pengiraan
menggunapakai PGK ini dipertikaikan oleh Dr. Denison Jayasooria yang merupakan
Presiden Yayasan Strategik Sosial dan juga Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi
Manusia (Suhakam). Menurut beliau, ukuran kemiskinan yang wajar dan telus
adalah menggunakan ukuran yang digunakan oleh negara maju iaitu purata pendapatan isi rumah dibahagi dengan
dua. Contohnya, purata pendapatan rakyat Malaysia adalah RM3,686 dan ini
bermakna garis kemiskinan sebenar ialah RM1,843. Ia juga perlu mengambil kira
keperluan peti sejuk, televisyen, dan lain-lain serta bukan keperluan asas
sahaja. Ini bermakna kadar kemiskinan di Malaysia ialah 30%! (Malaysiakini,
17 Jun 2008).
Sekiranya
kita menggunakan pakai garis kemiskinan yang dilakukan oleh Majlis Agama Negeri
pula, ukurannya adalah pendapatan keluarga di bawah RM1,000 dikira miskin dan
layak menerima bantuan zakat. Ini bermakna terdapat 100,000 keluarga tergolong
dalam miskin tegar dengan anggota keluarga ialah 600,000 orang; dan 600,000
keluarga dalam kategori miskin dengan anggota keluarga 3.5-4.5 juta orang. Ini
menunjukkan kadar kemiskinan di Malaysia ialah sekitar 13 - 17 peratus jika
menggunakan ukutan Majlis Agama Negeri.Menurut sumber Rancangan Malaysia ke-8
(RMK-8), 25% keluarga di Malaysia mempunyai pendapatan kurang daripada RM1,000
dan hampir 60% keluarga di Malaysia mempunyai pendapatan bulanan keluarga
kurang daripada RM2,000.
Daripada
maklumat di atas, dapat kita fahami kadar kemiskinan di Malaysia adalah masih
tinggi. Kemiskinan yang dialami ini juga
menjadi titik permulaan berlakunya keganasan dalam rumahtangga. Akibat terlalu
tertekan dengan kesempitan hidup yang mencengkam emosi, perasaan tertekan itu
akhirnya diekspresikan dengan perbuatan memukul isteri dan anak-anak di
rumah.Saya sendiri punya pengalaman sebagai seorang yang pernah hidup
susah.Memang diakui keadaan keluarga agak huru-hara pada ketika itu.Di tambah
pula dengan sikap baran ayah, seringkali sahaja amarahnya dilempiaskan pada ibu
dan anak-anak seolah-olah kami ini beban pada dirinya.Jadi saya percaya,adalah tidak
mustahil untuk berlakunya keganasan rumahtangga di saat sebegini.Desakan hidup
menjadi punca.
Rintihan
Wanita
Begitu banyak filem yang dihasilkan bagi menyampaikan mesej kepada masyarakat mengenai hak wanita. Contohnya,filem Perempuan Berkalung Sorban (2009) merupakan adaptasi daripada novel yang juga bertajuk Perempuan Berkalung Sorban (2001). Filem ini cuba mengintepretasikan ketidakadilan yang berlaku terhadap golongan wanita. Dikhabarkan filem ini mendapat bantahan beberapa kiyai di Indonesia dan menggesa agar ia diboikot. Kata mereka filem ini menghina pasantren dan Islam. Kongkongan ke atas kehidupan wanita atas nama agama cuba ditonjolkan dengan penyampaian yang bagus sekali.Apabila saya menonton filem in,bagi saya,ia bukanlah filem yang menghina Islam seperti dakwaan segelintir orang, tetapi ia merupakan sebuah kritik sosial yang tajam dan tepat.
Filem ini jika ditonton oleh mereka yang tidak dapat
membezakan antara ajaran asal Islam dan gambaran salah Islam mengenai wanita
yang dihasil oleh sesetengah guru dan kiyai, mungkin mengelirukan mereka. Namun,
sesetengah pemikiran yang sempit mengenai wanita dikongsi oleh sebahagian
pendokong salafiah sempit dan konservatif traditionalis. Hal ini terus berlaku
dalam mereka di beberapa Negara Teluk yang kuat salafiah dan juga negara-negara
Indo-Pakistan dan Nusantara yang kuat aliran konservatif traditionalis.
Walaupun antara manhaj salafi dan fanatik traditonalis
mazhab itu berbeza dalam banyak persoalan, namun mereka kadang-kadang sama-sama
menyempitkan fikiran agama mengenai kehidupan dan wanita dalam banyak hal( Malaysiakini,30 April 2010).Walaubagaimanapun,saya yakin
filem ini di suatu sudut boleh menjadi perangsang kepada usaha-usaha membela
kaum wanita muslimah di negara asalnya dan negara ini juga.Selain itu, filem
ini juga boleh merangsang semangat menentang tafsiran yang sempit dan salah
tentang Islam.Penghasilan filem sebegini harus diperbanyakkan lagi sebagai
langkah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat bagi membela nasib wanita.
Apa yang saya cuba sampaikan di sini bukanlah untuk menghentam pihak lelaki dan juga bukanlah untuk menghasut supaya membenci lelaki.Tetapi niat saya hanyalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tidak kira lelaki atau wanita supaya menghormati antara satu sama lain.Keadilan perlu diberi kepada kaum wanita. Banyak lagi punca yang menjadi penyebab berlakunya ketidakadilan terhadap wanita yang tidak saya nyatakan di sini.Anda sebagai masyarakat perlu ambil tahu dan peduli akan keadaan sekeliling.Hak wanita ini harus dibela kerana wanita ini lah yang bakal menjadi pendidik kepada anak-anak kelak.
Sesungguhnya wanita itu bukan manusia keji.Usahlah
kita hanyut dengan budaya rasis jantina.Gusar andai dibiarkan budaya ini
berlarutan,generasi akan datang terus terpalit pada rasis jantina ini.Diakui
lelaki itu ramai yang menjadi pemimpin dunia, tetapi jangan sekali dilupakan
pengorbanan dan perjuangan seorang wanita.Lembut tangannya membesar dan
mendidik anak sedari kecil hingga dewasa menjadi dirimu yang sekarang.
Sumber
H.Al-Kahtany, D. (2008). Hak Wanita Sebuah
Tinjauan Sejarah. raudhatulmuhibbin.org.
Muslims Against
Domestic Violence . ( 2010 ,
December Monday). Retrieved from Sisters In Islam:
http://www.sistersinislam.org.my/print.php?news.591
Pengaruh Feminisme
dalam Pemikiran Islam. (2013,
November 14). Retrieved from Malaysian Insider:
http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/pengaruh-feminisme-dalam-pemikiran-islam-mohd-shauki-abd-majid
0 comments:
Post a Comment