PENGENALAN
Pioneer
Of Intellectual Generation (PI-Gen) telah ditubuhkan pada bulan Februari 2013
dan sehingga kini didokong oleh ahli seramai 10 orang yang merupakan pelajar
dan bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang. Berbekalkan
pengalaman mengendalikan kelab dan menganggotai jawatan-jawatan penting dalam
kelab-kelab berdaftar di dalam kampus, PI-Gen mengorak langkah melalui coraknya
tersendiri dengan mewujudkan budaya wacana ilmu dalam kalangan mahasiswa
khususnya pelajar UiTM sendiri. Idea penubuhan PI-Gen telah dicetuskan oleh
saudara Wan Amirul Hafiz bin Wan Alwi dan saudari Aimi Syifaa’ Abdul Halim yang
menyedari akan perlunya diskusi ilmiah ketika perjumpaan sesama mahasiswa tidak
kira sama ada di warung-warung mahupun di restoran-restoran.
Walaubagaimanapun, sebelum tertubuhnya PI-Gen, kumpulan mahasiswa ini telah
mengadakan diskusi kecil-kecilan dalam kalangan mereka sendiri sebagai aktiviti
sampingan mereka di dalam kampus. Persoalan demi persoalan ditimbulkan dan cuba
dirungkaikan bersama-sama melalui penemuan jawapan daripada kuliah-kuliah di
dalam dan luar kampus serta melalui pembacaan bahan-bahan ilmiah. Atas
kesedaran tentang perlunya mahasiswa untuk mengambil tahu kondisi siasah dan
isu-isu semasa, kumpulan mahasiswa ini bergerak secara lebih dinamik bagi
melibatkan pelbagai topik dalam diskusi santai yang diadakan.
PI-Gen kini bergerak lebih maju ke hadapan dengan terbinanya page dan group di
dalam media sosial facebook, menerbitkan zine hasil karya ahli-ahli PI-Gen
sendiri, keterlibatan ahli PI-Gen dalam penulisan di media bebas dan penubuhan
blog seperti yang saudara saudari lihat di skrin sekarang ini.
PI-Gen yang merupakan pertubuhan non-partisan yakin dengan usaha yang dilakukan
dalam membuka pemikiran mahasiswa yang merupakan generasi penyambung tampuk
kepimpinan negara ini. Usaha kecil-kecilan ini mungkin masih tidak dapat lagi
menandingi pertubuhan-pertubuhan NGO yang lebih besar tetapi kami di PI-Gen
yakin bahawa usaha ini sedikit sebanyak dapat membuka hati-hati insan yang
terpilih ke arah memanusiakan manusia.
0 comments:
Post a Comment