oleh
Mohd Ashraf Idris
Umum
mengetahui bahawa pendidikan merupakan salah satu penyumbang utama kepada
pembangunan modal insan, sosial dan ekonomi bagi sesebuah negara. Masyarakat
yang mendiami negara maju seperti Amerika Syarikat, Perancis, Jerman dan Jepun
rata-ratanya memiliki tahap intelek yang tinggi. Bahan khazanah ilmu bukan
sahaja dibicarakan oleh para sarjana mereka bahkan ianya juga dibicarakan oleh
golongan awam. Ini kerana sistem pendidikan dan suasana kemasyarakatan di sana
membantu mereka dalam pembudayaan ilmu. Kewujudan pelbagai aliran seperti
sosialis, kapitalis, komunis, ateis, liberal, sekular khususnya di negara barat
telah merancakkan wacana ilmu dan perdebatan dalam kalangan mereka. Pemerintah
mereka pula tidak menyekat mana-mana aliran pemikiran untuk berkembang selari
dengan konsep demokrasi ilmu yang mereka amalkan.
Saya tertarik dengan ungkapan yang sering disebut oleh Prof Madya Dr Mohd Asri
Zainal Abidin iaitu “pemikiran mestilah dilawan dengan pemikiran juga”.
Bagi beliau sendiri, aliran pemikiran yang batil mestilah dibanteras dengan
pemikiran juga melalui para sarjana dan ahli akademik. Kebiasaannya masyarakat
yang ditekan akan menyaksikan kebangkitan tokoh-tokoh ilmuan bagi melawan
pemikiran dan tekanan yang dikenakan ke atas mereka. Ini sekaligus melahirkan
kelompok sarjana yang hebat seperti Ibn Taimiyah, Prof Dr Hamka, Dr Burhanudin
al Helmy, Mahatma Ghandi, Karl Marx dan lain-lain.
Dunia Islam juga menyaksikan konsep demokrasi ilmu atau keterbukaan diamalkan
oleh para ulama muktabar dalam perbahasan ilmu. Ini dapat dibuktikan melalui
pengiktirafan ulama Ahlusunnah Wal Jamaah terhadap tokoh-tokoh yang tidak
sealiran dengan mereka dari sudut aqidah seperti Ibn Sina, Ali Syari’ati dan
Zamakhsyari. Ibn Sina dan Ali Syari’ati misalnya berpegang dengan aqidah Syiah.
Namun, keilmuan mereka dalam bidang perubatan dan falsafah diakui sehingga ilmu
mereka dalam bidang tersebut diangkat dan diiktiraf. Begitu juga Zamakhsyari
yang berpegang dengan aqidah Muktazilah namun, keilmuan beliau dalam bidang
tafsir diakui sehingga kitab tafsirnya yang bertajuk Al Kasyaf disenaraikan
oleh sebahagian ulama Ahlussunnah Wal Jamaah sebagai kitab tafsir bi ra’yi yang
muktabar.
Penyakit yang melanda masyarakat kita pada hari ini ialah mereka tidak mahu
mendengar walau secebis ilmu daripada tokoh yang tidak sealiran dengan mereka.
Masyarakat kita lebih cenderung melabel seseorang dengan gelaran-gelaran yang
tidak masuk akal seperti kaum muda, wahabi, liberal, pengamal pluralism,
nepotism, agen yahudi dan lain-lain sehinggakan orang lain terkesan dan tidak
mahu mengambil ilmu daripada golongan ini. Ini merupakan sebahagian daripada
projek pembodohan masyarakat yang akan merugikan negara. Perdebatan dan wacana
ilmiah seharusnya dijadikan medan bagi mengimbangi idea yang muncul
ditengah-tengah masyarakat. Sesiapa sahaja boleh membentangkan idea
masing-masing dan ianya terbuka untuk dikritik dan dinilai. Melalui cara ini,
ia dapat membantu masyarakat membuat penilaian yang lebih tepat setelah
mendengar pembentangan daripada aliran yang pelbagai seterusnya menjadikan
masyarakat kita lebih bijak dan berhati-hati dalam mengeluarkan pandangan.
Zaman
Gelap di Eropah
Zaman
Gelap di Eropah menyaksikan kematian ilmu di mana kuasa politik ketika itu
dikawal oleh paderi dan gereja yang bermazhab Katolik. Segala arahan yang
keluar dari mulut pemerintah dianggap sebagaidivine conclusion oleh
rakyat. Rakyat tidak boleh mempersoal tentang arahan yang dikeluarkan kerana
ianya dianggap melawan arahan tuhan. Golongan paderi diagungkan kerana mereka
merupakan penyampai mesej dan risalah daripada tuhan. Masyarakat ketika itu
menghambakan diri pada institusi gereja. Apabila pengaruh paderi seakan-akan
tidak boleh digugat, maka wujudlah penyelewengan kuasa dan penindasan. Siapa
yang melawan arahan dianggap terkeluar dari agama. Tidak hairanlah Karl Marx
menganggap agama itu candu masyarakat.
Setelah itu, wujud pula golongan reformis seperti Martin Luther yang inginkan
perubahan hidup mereka menjadi lebih baik. Mereka menentang institusi gereja
yang telah mencampuri politik dan menyalahgunakan pengaruh dengan
sewenang-wenangnya. Tekanan hidup yang dikenakan ke atas mereka telah
menyebabkan mereka bangkit menyebarkan kefahaman yang sebenar kepada
masyarakat. Sedikit demi sedikit Zaman Gelap menuju Zaman pencerahan atau
dikenali sebagaiEnlightment di mana masyarakat mula menyedari
bahawa menggunakan akal tidak melanggar agama. Suasana keilmuan di Zaman
Pencerahan menjadi salah satu faktor kepada berlakunya Revolusi Perancis 1789.
Setelah itu, muncul pula tamadun baru yang dihiasi dengan kegiatan penulisan
dan perbahasan ilmiah seterusnya menjadikan Eropah semakin maju mengalahkan
tamadun Islam Khilafah Uthmaniyah. Sesuatu harus dipelajari daripada sejarah
ini. Apakah kita sekarang sedang menuju Zaman Gelap?
Agamawan
di Malaysia
Ustaz Hasrizal Abdul Jamil pernah menyuarakan kebimbangan beliau mengenai golongan agamawan di Malaysia di dalam bukunya ‘Secangkir Teh Pengubat Letih’. Beliau menyebutkan “…kuliah Subuh dan kuliah Maghrib yang ada di negara kita, tidak membentuk cara berfikir masyarakat. Malah tidak keterlaluan kalau saya katakan, kuliah Subuh dan Maghrib inilah tempat yang sering menyuburkan kecelaruan berfikir dalam masyarakat kita. Oleh kerana masyarakat kita rata-ratanya malas membaca dan mengkaji sendiri, kebergantungan mereka kepada kuliah Subuh dan kuliah Maghrib ini memburukkan lagi keadaan kerana penceramah kuliah Subuh dan kuliah Maghrib juga rata-ratanya malas membaca dan mengkaji”. Apa yang dapat disimpulkan dalam tulisan beliau ialah masyarakat di Malaysia terlalu cepat berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh penceramah tanpa meneliti keabsahan sesuatu perkara tersebut. Malah lebih teruk lagi apabila para asatizah gagal untuk memberikan dalil-dalil sebagai bukti sokongan kepada jawapan. Akhirnya ianya sekadar menjadi khabar angin atau hearsay yang tiada nilai ilmu. Semuanya superficial. Beliau menegaskan bahawa Islam yang tidak berasaskan pembacaan dan pengkajian ialah Islam murahan.
Antara
contoh ilmu yang batil yang berlegar dalam masyarakat kita ialah penyebaran
hadis palsu berkenaan fadhilat solat tarawih mengikut malam. Dikatakan bahawa
nabi s.a.w bersabda“Daripada Ali Bin Abu Talib radhiallahu ‘anhu, bahawa
Rasulullah s.a.w telah ditanya tentang keutamaan-keutamaan tarawih di bulan
Ramadhan. Baginda bersabda: “ Orang mukmin keluar daripada dosanya pada malam
pertama seperti saat dia dilahirkan ibunya. Malam kedua
dia diampuni, juga kedua orang tuanya, jika keduanya mukmin. Malam
ketiga malaikat berseru dari bawah ‘Arasy. mulailah beramal, semoga
Allah mengampuni dosamu yang telah lalu…..”. Hadis ini tidak mempunyai
sumber dan sandaran yang sahih. Mufti Brunei telahpun mengeluarkan fatwa haram
menyebarkan hadis ini. Berikut merupakan sebahagian teks fatwa tersebut.
“…..Setelah
merujuk kepada kitab-kitab hadis yang muktabar di kalangan ahli Sunnah Wal
Jama’ah, termasuk kitab-kitab yang menjadi sandaran dalam pencarian
hadis-hadis, sehingga setakat ini tidak dijumpai hadis-hadis yang khusus menyebutkan
tentang kelebihan sembahyang Tarawih dengan menyatakan ganjaran yang diperolehi
pada setiap malam Ramadhan sepertimana yang dinyatakan.
Apa yang telah ditemui setakat ini, hanyalah
riwayat-riwayat yang hampir sama dengannya dan dihubungkan sanadnya kepada
sayyidina Ali Bin Abu Talib iaitu tersebut dalam kitab Bihar Al-Majlisi, salah
Ramadhan dan kitab Was’a’il Al- Syi’ah karangan Al-Shiekh Muhammad bin Al-Hasan
Al-Har Al-‘Amili dalam bab Istihab Al-Shalah Al-Mukhshushah Kulla Lailah min
Syahr Ramadhan wa Awwal Yaum Minh. Maka sehubungan itu, oleh kerana hadis yang
ditanyakan itu tidak diketahui sumbernya yang boleh ditanyakan itu tidak
diketahui sumbernya yang boleh dii’timad, maka ia mestilah dihentikan daripada
dipromosikan melalui radio ataupun televisyen……..”.
Penceramah yang malas mengkaji akan mudah menyebarkan ilmu-ilmu yang batil
sesuai dengan kehendak hawa nafsu mereka. Ini memberi kesan buruk kepada
masyarakat kita yang tidak memahami konsep keilmuan.
Peranan
media Malaysia
Masyarakat
Mesir ketika Zaman Uthmaniyah hidup dalam keadaan tertindas dibawah
pemerintahan Islam yang zalim. Setelah kedatangan Perancis, masyarakat Mesir
seolah-olah menyambut baik kehadiran mereka kerana mereka inginkan pembaharuan
dalam hidup kesan daripada kezaliman kerajaan Uthmaniyah. Perancis telah datang
ke Mesir dengan membawa bahan-bahan percetakan dan menggiatkan aktiviti
penterjemahan. Ketika itu muncullah akhbar-akhbar watan yang menjadi bahan
bacaan utama penduduk tempatan sehingga tercetusnya budaya keilmuan di Mesir.
Situasi yang sama juga berlaku di Tanah Melayu di era penjajahan Inggeris.
Peranan akhbar ketika itu sangat hebat sehingga dapat meniupkan semangat
masyarakat untuk bangkit menentang penjajah. Oleh kerana akhbar merupakan
satu-satunya bahan bacaan ketika itu, segala informasi yang dimuatkan di dalam
akhbar memberi kesan yang besar terhadap keilmuan masyarakat. Namun media
percetakan dilihat telah berjaya mendidik dan memberi kefahaman kepada
masyarakat. Setelah mencapai banyak kemajuan dan menuju era millennium, saya
tidak melihat banyak perubahan dalam perkembangan ilmu melalui media. Utusan
Malaysia dan TV3 misalnya lebih banyak membawa berita melalui satu jenis aliran
sahaja iaitu pro kerajaan sedangkan media tersebut merupakan media awam.
Apabila tiada sikap keterbukaan, maka akan lahirlah sikap taksub sehingga
membawa kepada berita-berita fitnah. Utusan Malaysia antara akhbar yang sering
di saman kerana sering memfitnah mereka yang tidak sealiran. Suatu ketika dahulu
Utusan Melayu sering mendapat kepercayaan masyarakat namun setelah banyak kali
disaman dan dikritik oleh ahli akademik, masyarakat kita sudah hilang
kepercayaan dan lebih gemar mencari maklumat melalui media alternatif.
Walaupun begitu, tidak dinafikan bahawa Utusan Malaysia dan TV3 mempunyai hak
untuk menyokong mana-mana aliran politik. Namun adalah lebih baik jika
disampaikan berita-berita daripada pelbagai aliran supaya rakyat lebih bijak
dalam membuat penilaian. Saya lebih gemar jika media awam tidak disentuh oleh
mana-mana aliran. Biarkan akhbar sahaja menjadi lidah rasmi yang berbicara
perihal aliran mereka seperti yang dilakukan akhbar Harakah. Sinar Harian
merupakan contoh terbaik bagi saya kerana mereka berjaya mengumpulkan kenyataan
dari pelbagai aliran politik. Sebagai contoh dalam isuPerjanjian Perkongsian
Trans Pasifik (TPP), mereka telah mengumpulkan pandangan daripada ketua
pembangkang, Dato Seri Anwar Ibrahim dalam artikel bertarikh 12
Ogos 2013 dan kemudiannya mengumpulkan kenyataan daripada Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed bertarikh 13 Ogos
2013. Sinar Harian juga berjaya menganjurkan debat PTPTN yang menemukan
dua tokoh politik dari aliran yang berbeza iaitu Khairi Jamaluddin mewakili
Barisan Nasional manakala Rafizi Ramli mewakili Pakatan Rakyat. Konsep
keterbukaan dilihat lebih memberi impak kepada pembudayaan ilmu dalam kalangan
masyarakat kita.
Di
mana mahasiswa??
Sering
kali saya memberitahu rakan-rakan bahawa mahasiswa seharusnya berbeza dengan
bukan mahasiswa. Ini kerana mahasiswa merupakan golongan yang terpelajar jika
dibandingkan dengan remaja lain yang tidak berpelajaran. Mereka yang tidak
berpelajaran lebih cenderung menghabiskan masa dengan aktiviti yang sia-sia
sedangkan mahasiswa banyak menghabiskan masa dengan melibatkan diri dalam
program-program keilmuan dan kemasyarakatan. Ilmu yang mereka perolehi perlu
diterjemahkan melalui tindakan dengan memberi bakti kepada agama, bangsa dan
negara. Mahasiswa perlu lebih cakna dengan apa yang berlaku di dalam dan luar
negara supaya mereka boleh menjadi benteng terakhir melawan serangan pemikiran
yang batil.
Disamping itu, mahasiswa merupakan bakal pemimpin negara yang akan berhadapan
dengan cabaran politik, ekonomi dan sosial dalam negara. Jika mereka mengambil
sikap sambil lewa dalam hal-hal berkaitan isu semasa, ianya akan memberi kesan
buruk kepada kemajuan negara. Kebanyakan mahasiswa pada hari ini tidak gemar
membaca bahan penulisan politik dan isu semasa kononnya tidak berminat. Mereka
lebih gemar membaca novel cinta, kisah seram, menonton drama korea dan berada
dalam dunia mereka sendiri sehingga tidak menyedari masyarakat disekeliling
mereka sedang berpenyakit dan perlu diubati. Sebagai bekas pelajar UiTM, saya
kerap kali melihat perkembangan mahasiswa UiTM yang lembab dalam berfikir dan
lebih suka berhibur. Apabila masuk wang PTPTN, mereka akan mula membeli gadjet
yang mahal, shopping, berhibur, melancong dan melakukan
aktiviti-aktiviti yang membuang masa. Jauh sekali bagi mereka untuk membeli
buku.
Andai kata negara ini diserang oleh Israel ataupun Amerika, apakah kita boleh
mengharapkan mereka menjadi tentera pemikir barisan hadapan untuk melawan
serangan itu?? Jika negara ini dilanda krisis ekonomi, serangan budaya,
pergolakan dan keruntuhan tamadun, apakah mereka bersedia membaikpulih apa yang
telah mereka rosakkan suatu ketika dahulu?? Sungguh penat melihat gelagat
mereka yang seolah-olah tidak berpelajaran. Kerajaan telah menghabiskan jutaan
ringgit sebagai pelaburan pendidikan supaya mendapat pulangan semula kepada
kemajuan negara. Namun yang diharapkan masih belum kelihatan.
Prof Syed Hussein Al Atas pernah menyorot isu The Captive Mind (minda
tawanan) dengan merujuk kepada kaum terpelajar peribumi yang terkurung dalam
sistem orientasi barat sehingga tidak mampu melepaskan diri daripada sudut
pandang, perspektif dan paradigm keilmuan barat. Mereka adalah
“sarjana-sarjana” burung kakak tua yang hanya tahu meniru dan tidak memiliki
keaslian intelektual. Dalam kaitan ini, apa diperlukan oleh sesebuah negara
merdeka adalah kaum cendekiawan model baru yang berjiwa merdeka, berminda
terbuka, berfikiran kritis, objektif, mengakar dalam tradisi keintelektualan
peribumi-Islami, hadir di tengah umat sebagai katalis perubahan: tahririy-tanwiriy(pembebasan
dan pencerahan).
Walaupun begitu, saya memuji sesetengah
mahasiswa yang berjaya mengembalikan peranan mereka kepada masyarakat. Antara
yang dilakukan mereka ialah menjadi aktivis khidmat masyarakat, menganjurkan
seminar ilmu, membudayakan wacana ilmiah, membuat penulisan, memberi idea pada
pembangunan negara dan mencipta ciptaan baru yang memberi kemudahan kepada
masyarakat. Sikap mereka seharusnya dijadikan contoh buat mahasiswa lain yang
malas mengkaji, malas membaca dan malas untuk terlibat dalam program
bermanfaat.
Sekatan
daripada pemerintah
Perkembangan
ilmu di Zaman Kerajaan Abbasiyah banyak bergantung kepada faktor pemerintah.
Jika pemerintah mengamalkan konsep keilmuan, maka pusat pendidikan dan para
sarjana akan tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Ini berlaku di zaman
pemerintahan khalifah Harun ar Rasyid dan anaknya Ma’mun ar Rasyid di mana
mereka telah mendirikan Baitul Hikmah sebagai lembaga penterjemah yang
berfungsi sebagai perguruan tinggi, perpustakaan, dan penelitian. Selain itu,
masjid-masjid juga dilengkapi dengan sekolah dan perpustakaan. Para pensyarah
dan pendidik dihormati dan dihargai tanpa mengira anutan agama mereka. Abu
Ja’far al Mansur merupakan perintis kepada usaha menaungi dan mempelopori
kegiatan intelektual. Beliau adalah orang yang bertanggungjawab mengasaskan
kota Baghdad dan mendirikan kolej perubatan disana. Kota Baghdad muncul sebagai
kegiatan intelektual terunggul di dunia ketika itu. Kesan daripada perkembangan
ilmu yang meluas, maka lahirlah kegiatan penterjemahan secara sistematik,
kemunculan mazhab agama dan pembinaan seni bina yang agung.
Namun kehebatan di zaman itu tidak kekal lama setelah
pemerintah mula bertukar kepada pemerintah yang zalim. Mereka bersikap biadap
terhadap golongan ulama dan musuh politik. Majoriti ulama tidak terlepas
daripada seksaan khalifah walaupun kesalahan ynag dilakukan amatlah kecil
seperti enggan menerima jawatan tinggi yang ditawarkan oleh khalifah atau tidak
sependapat dengan khalifah dalam sesuatu masalah. Imam Abu Hanifah misalnya
diseksa, diracun dan dipenjara sampai mati. Budaya keilmuan yang disekat oleh
pemerintah telah menyebabkan masyarakat kembali kepada kejahilan.
Apa yang berlaku di Malaysia tidaklah seteruk kezaliman
di Zaman Kerajaan Abbasiyah. Pemerintah Malaysia masih mengamalkan konsep
keterbukaan dalam perkembangan ilmu. Namun apa yang saya lihat, ilmu itu lebih
berkembang di negeri yang tidak mempunyai sultan seperti Pulau Pinang. Pelbagai
aliran pemikiran muncul di negeri itu kerana tidak ada sekatan yang khusus oleh
pemerintah. Sekatan hanya wujud melalui kerajaan persekutuan dengan menggunakan
Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA), Akta Universiti dan Kolej Universiti
1971 dan Akta Hasutan 1948. Ramai musuh politik telah dikenakan akta ISA
dan dihumban ke dalam penjara. Golongan mahasiswa pula tidak diberi ruang untuk
berbicara berkenaan politik dan memberi pandangan terhadap isu-isu semasa.
Sedikit pujian harus diberi kepada pimpinan Dato Seri Najib Tun Razak kerana
semua akta yang disebutkan tadi telah dipinda dan ada yang sudah dimansuhkan.
Semoga budaya keterbukaan ilmu ini diteruskan oleh pemimpin lain,
Khatimah
Daya
pencapaian sesuatu bangsa memang banyak ditentukan oleh kekuatan ilmunya.
Pimpinan bangsa kita memang banyak membina sekolah, malah universiti dan
pelbagai jenis institusi pengajian tinggi. Tetapi semuanya itu tidak
menyembunyikan hakikat kegagalan membina budaya ilmu, kegagalan membina sikap
cintakan ilmu dan kegagalan memartabatkan ilmu. Budaya ilmulah sebenarnya yang
dapat membangkitkan ghairah menguasai ilmu. Apabila wujudnya pembudayaan ilmu
ini, diharapkan masyarakat kita akan kembali memainkan peranan bagi mematangkan
politik, ekonomi dan sosial dalam negara.
Senarai Rujukan
(2013, Ogos 12). Retrieved Ogos 14,
2013, from Sinar harian: http://www.sinarharian.com.my/tpp-anwar-saran-analisis-menyeluruh-dan-adil-1.191530
(2013, Ogos 12). Retrieved Ogos 14,
2013, from Sinar harian: http://www.sinarharian.com.my/tpp-isu-dikata-anwar-bukan-perkara-baru-1.191789
Abdullah, A. R. (1984). Sejarah
dan Pemikiran Islam. Selangor: Penerbitan Pena Sdn. Bhd.
Fadzil, D. S. (2012). Islam
dan Melayu. Akademi Kajian Ketamadunan.
Hasrizal. (2010). Secangkit
Teh Pengubat Letih. Galeri Ilmu.
Setia, P. D. (1999). Hadis fadhilat
terawih. Fatwa Mufti Kerajaan 1999 .
Zulkifli Dahlan. (2009). Sejarah
Pemikiran dan Tamadun Islam. Pusat Penerbitan Universiti (UPENA).
0 comments:
Post a Comment