Alhamdulillah pada hari sabtu yang lepas telah berlangsungnya bulatan
gembira secara santai berkenaan tajuk Hak Kebebasan Wanita yang dibentang oleh
saudari Sashareena Adnan. Walaupun tajuknya agak umum, namun pembentang lebih
memfokuskan kepada keganasan rumahtangga. Untuk makluman semua, bulatan gembira
kali ini pertama kalinya diadakan pada waktu petang. Suasana yang agak santai
dihiasi dengan deru angin di warung cendol, menambahkan lagi mood diskusi.
Sebelum
pembentangan, saudari Intaz Khazaimah telah membacakan puisi bertajuk “apa
ertinya menjadi perempuan”. Konsep ini pertama kalinya diperkenalkan oleh
PI-Gen bertujuan untuk mengembalikan sastera yang semakin dilupakan oleh
sebahgian besar mahasiswa. Bacaan puisi teleh dideklamasikan dengan bersemangat
bagi membangkitkan kesedaran wanita tentang peranan mereka dalam mendepani
penindasan.
Saudari Sashareena
memulakan pembentangan dengan menegaskan bahawa pembentangan ini tidak membawa
agenda liberal bahkan menentang beberapa ideologi Islam liberal khususnya
Sister in Islam (SIS). Beliau mengetengahkan peranan agama Islam dalam membela
kaum wanita. Wanita di zaman dahulu digambarkan seperti lambang syaitan dan
mempunyai kedudukan yang hina dalam masyarakat. Namun Islam datang membela kaum
ini dan melepaskan mereka dari belenggu penindasan. Pembentang juga
mengemukakan beberapa hadis sahih bahawa Islam sebenarnya merahmati wanita. dan
bukan lah fitnah semata-mata.
Setelah itu,
pembentang mengetengahkan pula isu keganasan rumahtangga yang semakin menjadi-jadi
sehingga memperlakukan wanita seperti binatang. Pembentang juga membawakan
beberapa Akta Keganasan
Rumahtangga 1994 sebagai informasi tambahan tentang apa yang perlu dilakukan
oleh wanita jika berhadapan dengan isu keganasan rumahtangga. Selain itu beliau
juga mengkritik karenah pengurusan sesetengah institusi yang menyusahkan
kerja-kerja pembelaan terhadap kaum wanita. Diakhir pembentangan, beliau
menyeru agar semua pihak membina akhlak yang baik dan menyebarkan kasih sayang
tidak kira terhadap kaum wanita mahupun lelaki.
Setelah
itu, sesi dialog dan diskusi antara mahasiswa berlansung dengan rancak sekali.
Saudara Ashraf memulakan dialog dengan membawa beberapa isu peminggiran hak
wanita tanpa dalil seperti isu perempuan tidak boleh menjadi pemimpin, haram
musafir tanpa mahram dan beberapa penyalahgunaan nas atas kepentingan nafsu
lelaki. Selain itu, saudari Khazaimah dan saudara Luqman juga mengutarakan
beberapa pengalaman sahabat mereka yang melalui karenah pengurusan yang
menyusahkan semasa proses permohonan zakat dan proses memeluk agama Islam. Ini
kerana masalah yang sama juga berlaku dalam institusi mahkamah syariah sehingga
menunda-nunda proses khulu’.
Antara isu lain yang dibincangkan ialah bagaimana
jemaah tabligh yang keluar selama 4 bulan menguruskan anak dan isteri mereka.
Saudara Aiman dan Luqman menjelaskan serba sedikit tentang prosedur untuk para
jemaah tabligh yang ingin musafir lama dan cara mereka menguruskan keluarga
sepanjang musafir. Selain itu banyak persoalan seperti kaedah usul fiqh iaitu
al-urf dan hadis-hadis yang ragu dibincangkan. Diskusi pada petang tersebut
bukanlah untuk mencari jalan penyelesaian dan konklusi terbaik sebaliknya
memberikan beberapa idea serta informasi kepada peserta untuk mereka bawa
pulang dan membuat pembacaan tambahan atau mencari orang yang lebih pakar bagi
menggalakkan budaya mengkaji ilmu.
Diakhir diskusi, presiden PI-Gen telah menegaskan
sekali lagi tentang kenyataan rasmi PI-Gen bahawa pertubuhan ini tidak ada
kaitan dengan mana-mana pertubuhan dan aliran pemikiran. Tuduhan bahawa PI-Gen
membawa agenda liberal, syiah dan wahabi telah disangkal dan dinafikan
sekeras-kerasnya. Bahkan peserta yang hadir juga jelas dengan sikap kami dalam
melawan Islam liberal ketika membincangkan Hak Kebebasan Wanita. Semoga
kenyataan ini sedikit sebanyak mengendurkan curiga ramai pihak terhadap PI-Gen.
Nantikan bulatan gembira seterusnya yang akan dimaklumkan melalui fanpage rasmi
PI-Gen. Ayuh semarakkan budaya ilmu !
0 comments:
Post a Comment