Thursday, 2 January 2014

Filled Under:
,

Ulasan buku "Agama dan Politik" : Jawapan kepada SIS & COMANGO


Ulasan buku "Agama dan Politik" : Jawapan kepada SIS & COMANGO 

oleh Mohd Ashraf Idris


Gerakan Hak Asasi Manusia yang memperjuangkan kebebasan, kesamarataan, pembelaan terhadap kaum minoriti dan yang tertindas serta hak-hak yang berkaitan kemanusiaan semakin melebarkan sayap mereka. Di Malaysia sendiri gerakan ini dilihat mendapat tempat apabila tertubuhnya puluhan NGO yang membawa misi hak asasi manusia. Namun sebahagian daripada NGO ini ada yang lantang mengkritik konsep Islam yang didakwa melanggar hak-hak asasi manusia seperti yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Antara gerakan yang popular dalam mengenengahkan isu-isu seumpama ini di Malaysia ialah Sisters In Islam (SIS) yang sering kali bangkit menuntut hak wanita. Antara perkara yang sering dibangkitkan pertubuhan ini ialah seperti mengangkat wanita sebagai pemimpin, menentang poligami, menuntut kesamarataan harta pusaka dan lain-lain.

Tidak cukup dengan itu, pada 24 Oktober lepas, Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (COMANGO) yang terdiri daripada 54 buah NGO telah menuntut perkara-perkara yang mencabar kedudukan Islam di negara ini pada proses Semakan Berkala Sejagat (UPR) di Geneva, Switzerland. Pertubuhan yang juga diwakili Sisters In Islam (SIS) ini telah menuntut antaranya:

1-    Malaysia dituntut untuk menandatangani dan memeterai International Covenant on Civil & Political Rights (ICCPR) dimana terdapat Perkara 18 iaitu berhubung hak kebebasan beragama.

2-    Malaysia juga ditekan untuk mengiktiraf hak-hak berlandaskan SOGI- Sexual Orientation & Gender Identity iaitu hak kebebasan seksual.
Sebenarnya terdapat banyak lagi tuntutan-tuntutan yang dianggap mencabar syariat Islam yang tidak saya sertakan kerana saya hanya ingin fokuskan pada ha-hak wanita, kebebasan beragama dan kebebasan seksual.

            Ketika isu tuntutan COMANGO sedang hangat dibicarakan di media, berkebetulan saya sedang membaca sebuah buku yang dipinjam dari seorang sahabat yang bertajuk ‘Agama dan Politik’ karangan Dr Yusuf al Qaradhawi. Apabila sampai kepada bab ketiga yang membicarakan tajuk ‘Negara Islam dan Hak-Hak Asasi Manusia’, saya merasakan Dr Yusuf Qaradhawi telah pun berjaya menjawab dakwaan golongan sekularis dan liberalis ini dengan baik. Justeru itu saya ingin berkongsikan kepada pembaca berkenaan jawapan-jawapan yang diberikan Dr Yusuf al Qaradhawi berkenaan hal ini.



Hak-Hak Kaum Wanita

Dr Yusuf al-Qaradhawi memulakan tinta beliau dengan menyatakan bahawa tidak ada seorang pun yang mengenali Islam daripada sumber-sumber utamanya akan mengingkari bahawa agama ini lah yang merupakan sistem hidup pertama yang membebaskan kaum wanita daripada perhambaan masa lalu. Islam merupakan agama pertama yang bersikap objektif terhadap kaum wanita dan memuliakan mereka, baik dalam kapisiti mereka sebagai seorang manusia, seorang wanita, seorang puteri, seorang isteri dan anggota masyarakat.

            Beliau kemudiannya membawakan dalil dari al-Quran yang menunjukkan Allah menyamakan kedudukan lelaki dan wanita dalam tugas-tugas agama yang bersifat ritual, dalam urusan sosio-politik dan dalam asal penciptaan mereka. Allah  berfirman:

إِنَّ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَالْقَانِتِينَ وَالْقَانِتَاتِ وَالصَّادِقِينَ وَالصَّادِقَاتِ وَالصَّابِرِينَ وَالصَّابِرَاتِ وَالْخَاشِعِينَ وَالْخَاشِعَاتِ وَالْمُتَصَدِّقِينَ وَالْمُتَصَدِّقَاتِ وَالصَّائِمِينَ وَالصَّائِمَاتِ وَالْحَافِظِينَ فُرُوجَهُمْ وَالْحَافِظَاتِ وَالذَّاكِرِينَ اللَّهَ كَثِيرًا وَالذَّاكِرَاتِ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُمْ مَغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا
“Sesungguhnya laki-laki dan perempuan yang muslim, laki-laki dan perempuan yang mukmin, laki-laki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, laki-laki dan perempuan yang benar, laki-laki dan perempuan yang sabar, laki-laki dan perempuan yang khusyu´, laki-laki dan perempuan yang bersedekah, laki-laki dan perempuan yang berpuasa, laki-laki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, laki-laki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar.”
(Surah al-Ahzab: 35)



وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ۚأُولَٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ ۗإِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma`ruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dan mereka ta`at kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”
(Surah at-Taubah: 71)


فَاسْتَجَابَ لَهُمْ رَبُّهُمْ أَنِّي لا أُضِيعُ عَمَلَ عَامِلٍ مِنْكُمْ مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى بَعْضُكُمْ مِنْ بَعْضٍ فَالَّذِينَ هَاجَرُوا وَأُخْرِجُوا مِنْ دِيَارِهِمْ وَأُوذُوا فِي سَبِيلِي وَقَاتَلُوا وَقُتِلُوا لأكَفِّرَنَّ عَنْهُمْ سَيِّئَاتِهِمْ وَلأدْخِلَنَّهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأنْهَارُ ثَوَابًا مِنْ عِنْدِ اللَّهِ وَاللَّهُ عِنْدَهُ حُسْنُ الثَّوَابِ
“Maka Tuhan mereka memperkenankan permohonannya (dengan berfirman), "Sesungguhnya Aku tidak menyia-nyiakan amal orang yang beramal di antara kamu, baik laki-laki maupun perempuan, (karena) sebagian kamu adalah turunan dari sebagian yang lain. Maka orang-orang yang berhijrah, yang diusir dari kampung halamannya, yang disakiti pada jalan-Ku, yang berperang dan yang terbunuh, pasti akan Aku hapus kesalahan mereka dan pasti Aku masukkan mereka ke dalam surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, sebagai pahala dari Allah. Di sisi Allah ada pahala yang baik."
(Surah Ali Imran: 195)


            Hal ini dapat dilihat dalam sejarah Islam dimana kaum wanita mendapat tempat dalam menyampaikan aspirasi mereka kepada pihak yang berkuasa sebagaimana yang dilakukan Ummu Salamah dalam peristiwa Hudaibiyah. Semasa perjanjian Hudaibiyah, ramai dikalangan para sahabat yang kecewa dengan isi kandungan perjanjian yang di meterai rasulullah. Mereka menganggap bahawa rasulullah terlalu berlembut dengan kaum musyrikin dan isi perjanjian tersebut merugikan kaum muslimin. Ketika para sahabat sedang sugul, rasulullah berkata “Berdirilah kamu semua, kemudian sembelihlah haiwan untuk membayar dam, setelah itu cukurlah rambut kamu.” Al Miswar berkata, “Demi Allah tidak ada seorang pun yang bangun melaksanakan perintah rasulullah tersebut sampai baginda mengatakan yang ketiga kalinya.” Mereka bukan engkar dengan perintah nabi tetapi mereka terlalu kasih dan merasakan perjanjian itu telah menghina Allah dan rasulNya. Akhirnya Rasulullah s.a.w telah masuk ke khemah isterinya ummul mukminin Salamah dan memberitahu tentang perkara itu lalu Ummu Salamah meminta agar nabi sendiri yang melakukannya tanpa berucap apa-apa. Rasulullah s.a.w terus keluar daripada khemah lalu bertahallul. Melihat perkara itu lalu para sahabat terus bertahallul dengan bercukur kepala dan menyembelih dam.

            Lebih daripada itu kaum wanita juga sudah diberi kesempatan untuk bekerja sebagai akauntan pengawas di pasar, seperti yang dilakukan oleh asy-Syifa’ binti Abdullah al-Adawiyah pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab. Perlu diketahui bahawa jawatan ini menggabungkan beberapa tugas utama sekali gus; antara pemberi peringatan, pengawasan dan peradilan serta mempunyai fungsi eksekutif. Kerana itu, Imam Abu Hanifah membolehkan seorang wanita untuk menjadi hakim dalam semua persoalan selain hukum jenayah manakala Imam at-Tabari membolehkan seorang wanita menjadi hakim dalam semua bidang dan menduduki semua jawatan pemerintahan selain puncak kepimpinan negara.

            Berkenaan dengan masalah warisan harta pusaka, perbezaan kadar berlaku disebabkan berbezanya tanggungjawab kewangan diantara lelaki dan perempuan dimana Islam lebih memberikan tanggungjawab kepada kaum lelaki dalam memberi nafkah kepada keluarga, membayar mas kahwin dan lain-lain. Atas sebab itu lah kaum lelaki diberikan dua kali ganda harta pusaka berbanding kaum wanita.

            Adapun dalam masalah kuasa suami untuk jatuhkan talak, maka perkara itu mempunyai hikmah yang diketahui oleh semua orang yang berfikir. Menurut penulis buku ini, seorang lelaki lebih mampu untuk melihat jauh ke hadapan terhadap apa-apa yang menjadi akibat daripada perbuatannya sebagaimana lelaki biasanya dapat mengawal perasaannya lebih daripada seorang wanita. Meskipun demikian, syariat Islam sudah menggariskan beberapa panduan khusus berkenaan penceraian sehingga dapat dikurangi sesedikit mungkin.

            Sementelahan, Islam telah memberikan hak untuk melakukan ‘khulu’ (iaitu hak seseorang untuk melepaskan dirinya daripada ikatan perkahwinan). Bahkan sebahagian fuqoha memandang bahawa seorang haki dapat memaksa pihak suami untuk menerima tuntutan khulu’ tersebut. Manakala sebahagian fuqoha pula membolehkan bagi wanita untuk membuat syarat tambahan yang dikehendakinya sebelum akad nikah bagi membolehkannya menjaga masa depannya. Sehingga begitu sekali Islam menjaga hak wanita.

            Adapun pendapat yang mengatakan bahawa seorang wanita tidak boleh menikahkan dirinya sendiri kecuali dengan izin wali, maka hal ini bukanlah termasuk dalam konsensus para ulama. Ini kerana dalam mazhab Hanafi, seorang wanita dibolehkan untuk menikahkan dirinya dengan seorang yang sekufu dengannya. Ini adalah pendapat yang disokong oleh makna tekstual daripada ayat al-Quran sementara hadis-hadis yang mensyaratkan perkenan wali tidak termasuk dalam hadis yang terdapat dalam kitab sahih (Bukhari dan Muslim) juga bukan termasuk hadis yang disepakati oleh ulama.

Kebebasan Beragama

Berkenaan dengan persoalan kebebasan beragama, maka sudah diketahui termasuk dalam prinsip-prinsip dasar Islam dimana tidak ada perbezaan pendapat di antara umat berkenaannya seperti mana firman Alllah:

لآَإِكْرَاهَ فِي الدِّينِ
"Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam)”
(Surah al-Baqarah: 256)

            Bahkan dalam konsep Islam tidak dapat diterima keimanan seseorang yang dipaksa kerana salah satu syarat keimanan ialah mesti daripada pilihannya sendiri. Demikian apa yang difirmankan Allah di dalam al-Quran:

وَقُلِ الْحَقُّ مِنْ رَبِّكُمْ ۖ فَمَنْ شَاءَ فَلْيُؤْمِنْ وَمَنْ شَاءَ فَلْيَكْفُرْ ۚ إِنَّا أَعْتَدْنَا لِلظَّالِمِينَ نَارًا أَحَاطَ بِهِمْ سُرَادِقُهَا ۚ وَإِنْ يَسْتَغِيثُوا يُغَاثُوا بِمَاءٍ كَالْمُهْلِ يَشْوِي الْوُجُوهَ ۚ بِئْسَ الشَّرَابُ وَسَاءَتْ مُرْتَفَقًا
“Dan katakanlah: "Kebenaran itu datangnya dari Tuhanmu; maka barangsiapa yang ingin (beriman) hendaklah ia beriman, dan barangsiapa yang ingin (kafir) biarlah ia kafir". Sesungguhnya Kami telah sediakan bagi orang orang zalim itu neraka, yang gejolaknya mengepung mereka. Dan jika mereka meminta minum, niscaya mereka akan diberi minum dengan air seperti besi yang mendidih yang menghanguskan muka. Itulah minuman yang paling buruk dan tempat istirahat yang paling jelek.”
(Surah al-Kahfi: 29)

            Adapun persoalan yang berkenaan kebebasan untuk murtad, maka ini adalah salah satu persoalan yang perlu dijelaskan lebih jauh. Intinya, perlu diketahui bahawa Islam tidak menghendaki agama dijadikan sebagai permainan oleh sebahagian orang dimana mereka masuk ke dalamnya hari ini dan kemudian keluar pula keesokkan harinya. Islam tidak menghalang fikiran seseorang apabila dia memilih agama selain Islam, tetapi Islam hanya akan menghalang tindakannya apabila dia mengajak orang lain untuk ikut kafir dan menyebarkan fitnah di barisan umat Islam. Dan, merupakan hak setiap sistem pemerintahan untuk mengadakan sebuah peraturan perundangan yang dapat melindungi dan menjaga kelansungan kewujudannya.

            Tindakan murtad apabila berlaku secara kolektif dan dalam jumlah yang besar, dengan sendirinya akan menjadi ancaman besar terhadap umat Islam. Menurut penulis, pemurtadan massal seperti ini mesti dilawan sebagaimana tindakan Saidina Abu Bakar dan para sahabat. Beliau membawakan contoh kes yang berlaku di Afghanistan dimana tentera mereka dibawa belajar ke Russia hingga mereka meninggalkan Islam dan berubah menjadi perwira-perwira berhaluan komunis. Apabila mereka pulang ke negara mereka, mereka melakukan kudeta terhadap pemerintahan yang sah dan memaksa ajaran-ajaran komunis ke dalam pemikiran masyarakat Afghanistan yang beragama Islam. Perwira-perwira ini kemudiannya mendapatkan bantuan daripada komrad mereka di Kremlin dan menggempur pejuang-pejuang mujahidin dengan pesawat tempur canggih. Akibatnya tidak kurang dari dua juta rakyat Afghanistan terbunuh dan mati syahid.

            Jika kita perhatikan lebih jauh, kemurtadan terhadap agama bukan sekadar suatu sikap pemikiran yang bersifat rasional. Lebih dari itu, pemurtadan adalah sebuah tindakan pemindahan kesetiaan daripada sebuah umat kepada umat lain yang menjadi lawan atau berbeza dengannya. Tindakan murtad dilihat dari kaca mata agama sebagai salah satu bentuk pengkhianatan dan pengingkaran terhadap janji yang sudah diucapkan.  Penulis memberikan perumpamaan seorang warga negara memindahkan kesetiaanya kepada negara penjajah atau negara lain. Tentu tidak ada yang dapat menerima jika perkara ini berlaku di negara mereka. Begitu lah halnya dengan kes murtad.

            Penulis juga menegaskan bahawa hukuman bunuh terhadap orang yang murtad bukanlah termasuk perkara yang disepakati oleh ulama-ulama Islam. Diriwayatkan daripada para pembesar ulama salaf seperti Umar bin al-Khattab daripada kalangan para sahabat, an-Nakha’ie daripada kalangan tabiin, serta imam Sufyan ats-Tsauri yang termasuk dalam kalangan imam besar yang mempunyai kelayakan ijtihad bahawasanya hukuman orang yang murtad adalah berupa hukuman penjara dan seumpanya, begitu juga kewajipan untuk memintanya secara persuasif agar bertaubat.[1]

            Para pembaca juga boleh mendapatkan perbahasan lanjut berkenaan hukuman murtad ini dalam buku‘Tiada Paksaan Dalam Agama’ karangan Dr Taha Jabir al-Alwani atau boleh mengikuti wacana bedah buku ini oleh Ustaz Wan Ji:-



Kebebasan Sexual atau LGBT

Islam dikatakan bersikap keras terhadap kaum yang berlainan keinginan seksual (suka pada sesama jenis). Dalam isu ini, Islam memang mengharamkan perbuatan seperti memuaskan hawa nafsu dengan cara ini meskipun secara suka sama suka. Penulis buku ini yakin bahawa Islam tidak bersendirian dalam menghadapi isu ini. Setidaknya semua agama samawi berada dalam barisan yang sama dengan agama Islam. Ini kerana semua agama ini mengharamkan segala bentuk perbuatan yang menjijikkan. Bahkan semua agama juga mengharamkan perzinaan iaitu hubungan antara seorang lelaki dan seorang perempuan hanya kerana hawa nafsu belaka dan bukan atas ikatan nikah yang sah.

            Menurut penulis, siapa jua yang membaca kitab-kitab samawi akan menjumpai pengharaman atas zina seperti yang termaktub dalam Taurat dan Injil. Dalam al-Quran dan Taurat juga juga disebutkan bahawa Allah telah menyiksa kaum Nabi Luth dengan seksaan yang dasyat sehingga dihancurkan diri mereka dan dimusnahkan desa tempat tinggal mereka untuk menyucikan bumi dari kotornya perbuatan mereka. Sikap Islam terhadap isu ini sama dengan sikap Yahudi dan Kristian. Maka tidak hairan kalau Islam tidak dapat menerima perkahwinan sejenis.

            Bukankah yang namanya perkahwinan itu ialah penyatuan diantara sesuatu dengan sesuatu yang berlawanan seperti penyatuan lelaki dan perempuan, kutub positif dan kutub negatif. Bagi saya sendiri konsep kebebasan mestilah dibatasi dan tidak ada istilah kebebasan mutlak. Kita juga sering mengawal kehendak anak kita seperti mengawal masanya bermain, mengawal dengan siapa dia harus berkawan, mengawal pemikirannya serta mengawal pemakanannya. Bukankah kita sudah menceroboh hak kebebasannya dalam memilih? Apakah mereka yang memperjuangkan kebebasan seksual ini sanggup melihat anak mereka sendiri berzina dengan ayahnya atau ibunya? Apakah mereka setuju jika anak mereka membuat pilihan untuk menjadi pelacur, penagih dadah dan penjenayah? 
 
Apa lah ertinya kebebasan jika ianya menghancurkan diri, bangsa, agama dan tamadun. Kebebasan seksual telah melanggar fitrah manusia dan akal yang sihat. Kebebasan seksual juga boleh menghancurkan tamadun apabila manusia dihiasi akhlak yang buruk, tidak lagi melahirkan anak dan rosak fitrahnya. Jika perkara ini dibiarkan meluas, maka jenis manusia sebagai makhluk hidup akan punah dalam satu atau dua generasi mendatang kerana tidak ada keturunan yang akan diperoleh dengan perkahwinan sejenis.

Khatimah

Dr Yusuf al-Qaradhawi di akhir tinta beliau memberikan pandangan bahawa seloknya kita dapat menerima piagam PBB tentang hak asasi manusia. Namun pada sisi lain, kita mesti tetap bersikap kritikal terhadap beberapa perincian, definisi setiap umat dan bangsa tentunya mempunyai karakteristik tersendiri dan tidak boleh dipukul sama rata begitu sahaja. Tentu tidak wajar bagi suatu umat yang besar yang beranggotakan lebih daripada 1.3 bilion manusia untuk dipaksa meninggalkan agama dan syariatnya hanya kerana PBB.

            Kerana itu dapat difahami, kenapa beberapa lembaga Islam mempunyai pandangan tersendiri dalam menyikapi piagam PBB. Pertubuhan-pertubuhan Islam sudah dapat menerima sebahagian besar fasal yang terkandung dalam piagam PBB tersebut namun tetap menolak sebahagian kecil fasal-fasal yang bertentangan dengan ajaran Islam.


Senarai rujukan
 
[1] HR Bukhari dalam Kitab asy-syuruth (no 2732) dan Abu Dawud dalam Bab al-Jihad (no 2765)
 
[2] Lihat buku Jarimah ar Riddah wa Uqubah al-Murtad karangan Dr Yusuf al-Qaradhawi yang termasuk dalam siri Rasa’il Tarsyid asy-Syahwah, hal.44 dan seterusnya.

Qaradhawi, D. Y. (2009). Agama dan Politik. Alam Raya Enterprise.

0 comments:

Post a Comment

Copyright @ 2013 PI- GEN.