Saturday, 14 September 2013

Filled Under:
,

Ulasan Bulatan Gembira 7.0

ULASAN BULATAN GEMBIRA 7.0



Tarikh: 14 September 2013

Tempat: Mengkuang Dam, Bukit Mertajam, Pulau Pinang

Tajuk radical discussion: 

"Pemimpin: Siapa yang lebih layak? Ulama atau golongan profesional?"


Bulatan Gembira 7.0 sudahpun menutup tirainya semalam dan sekaligus menamatkan aktiviti bulanannya dalam semester kami ini. Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan baik dan lancar bersama cetusan idea-idea segar yang dibawa daripada peserta sama ada yang hadir daripada tempat yang dekat mahupun jauh. Tajuk radical discussion, "Pemimpin: Siapa yang lebih layak? Ulama atau profesional?" telah didiskusikan dengan jayanya.
           Diskusi semalam bermula dengan kehangatan membahas pendefinisian ulama dan professional antara peserta. Masing-masing mempunyai pendapat tersendiri mengenai definisi yang dirasakan tepat terutama definisi mengenai siapakah golongan ulama dan apakah ciri-ciri yang perlu ada pada seseorang yang mahu diiktiraf sebagai ulama. Akhirnya, perbahasan mengenai definisi ini ini berakhir dengan persetujuan bahawa ulama didefinisikan melalui kadar pemikiran seseorang dan sejauh mana mereka mengambil berat tentang ilmu yang mereka perolehi daripada individu yang mereka ingin gelar sebagai ulama.
Saudara Syahmi Yusof sedang memberikan pandangan
           Seterusnya, moderator meneruskan persoalan tentang siapakah yang layak untuk menjadi pemimpin Malaysia di zaman ini. Diskusi menjadi rancak dengan keluarnya pendapat tidak kurang juga kritikan terhadap golongan-golongan ulama dan profesional yang membuatkan mereka tidak layak untuk memegang tampuk pemerintahan. Dalam pada itu, muncul nama-nama pemimpin yang boleh dicontohi dan dirasakan boleh membawa manfaat kepada rakyat.
Penasihat PI-Gen, saudara Faris Shamsuddin berkongsi idea
           Pada mulanya, kebanyakan peserta bersetuju mengiiktiraf golongan profesional untuk menjadi pemimpin. Namun, bila adanya kritikan terhadap golongan profesional yang gemar mengamalkan sistem kapitalisme dan tidak kurang juga pembuktian-pembuktian sejarah yang menunjukkan pemimpin golongan profesional juga banyak menindas rakyat, maka dengan itu semua sekali bersetuju untuk mengambil pendapat bahawa tidak kira siapapun pemimpin itu, sama ada ulama atau profesional, yang perlu dititikberatkan adalah kredibiliti yang ditunjukkan oleh pemimpin tersebut. Adakah dia seorang yang terbuka ataupun tidak untuk menerima cadangan dan kritikan rakyat? Juga adakah dia mempunyai sifat-sifat yang boleh menjadi contoh kepada rakyat?
Perkongsian daripada saudara Ahmad Munawar
           Adakalanya, persoalan-persoalan yang bermain di fikiran kita perlu diubah demi menyesuaikan matlamat yang ingin dicapai. Walabagaimanapun, generasi ini perlu terus menggerakkan enjin pemikiran mereka agar keputusan yang baik dapat dicapai. Konsep radikal discussion semalam telah membuka ruang pemikiran yang bebas dan kami percaya dengan konsep tersebut, walaupun terdapatnya perbezaan-perbezaan, ia dapat melengkapkan kekurangan yang perlu dibaiki. Kita tidak seharusnya takut dengan perbezaan-perbezaan ini malah perlu meraikannya. Sudah menjadi fitrah dan lumrah manusia diciptakan dengan adanya perbezaan dan perbezaan ini bahkan menguntungkan manusia itu sendiri walaupun ada situasi yang tidak lari daripada perbalahan yang teruk. Apapun, semuanya bergantung pada sikap kita sendiri.

           Terima kasih buat semua peserta yang hadir. Komitmen anda jelas menunjukkan kesungguhan dalam mencari dan menyebar apa yang dirasakan benar. Moga-moga perjuangan ini berbaloi dan menjadi saham buat kita di akhirat nanti. Terima kasih juga kepada mereka yang sentiasa mengikuti perkembangan kami. Nantikan program PI-Gen pada semester hadapan dengan pendekatan yang agak berbeza. Juga doakan sebahagian daripada ahli-ahli PI-Gen yang akan mengambil peperiksaan akhir semester tidak lama lagi.

Bersama Menjadi Generasi Intelek!

0 comments:

Post a Comment

Copyright @ 2013 PI- GEN.