Wednesday, 1 January 2014

Filled Under:
,

Andai dipisah Lagu dan Irama

Andai dipisah lagu dan irama.... 

oleh Mohd Ashraf Idris

 

Suatu ketika dahulu masyarakat melayu pernah menjadikan  pantun, syair dan puisi sebagai budaya yang selalu mereka amalkan. Budaya ini menjadi medium kepada masyarakat dalam meluahkan perasaan, menyatakan pendirian dan membangkitkan semangat rakyat. Apa yang berlaku disekeliling akan mereka manifestasikan dalam bentuk puisi, pantun dan syair. Sinergi antara bahasa dan irama yang disusun dapat menjentik jiwa pendengar. Tidak hairan jika kita menonton filem-filem klasik, mereka akan menggunakan ayat yang berbunga-bunga dalam dialog mereka kerana itu lah realiti masyarakat dahulu yang gemar dengan keindahan bahasa.


            Hal yang sama berlaku di dunia arab di zaman rasulullah s.a.w dimana syair menjadi  tinta utama bagi mengekspresikan apa yang terbuku dalam diri mereka. Sebahagian penyair pula menjadikan syair sebagai medium dalam menyampaikan maklumat. Kerana itu penyair arab mempunyai kedudukan yang tinggi dalam masyarakat kerana mereka mahu mendapatkan berita dan informasi daripada tinta penyair. Tentu sahaja mereka tidak mempunyai surat khabar seperti kita hari ini.


            Tidak seperti masyarakat melayu, syair masih lagi mendapat tempat dalam masyarakat arab. Seorang sahabat saya yang pernah belajar di Syria pernah menceritakan pada saya tentang budaya syair di sana. Ketika beliau sedang minum teh bersama rakan, pembuat teh tersebut mendendangkan sebuah syair kepada pelanggannya. Syair tersebut mudah untuk difahami oleh beliau dan beliau tidak merasakan apa-apa keistimewaan yang ada pada syair tersebut. Namun sebahagian daripada pelanggan yang merupakan dari kalangan bangsa arab memberikan respon yang luar biasa seolah-olah sudah dijangkiti virus sawan. Mereka kemudian meminta pembuat teh tersebut untuk membacakan lagi syair-syair yang lain. Sebahagian dari pelajar Malaysia terpinga-pinga dengan respon yang ditunjukkan oleh masyarakat arab Syria ketika itu kerana bagi mereka tiada apa yang istimewa. Walaupun tampak janggal, namun itu lah hakikat bangsa arab yang membesar dalam budaya sebegitu.

            Dasawarsa ini, budaya syair, puisi dan pantun tidak lagi sehangat dulu. Namun apa yang menariknya, masyarakat telah berubah mencari medium lain dalam mengekspresikan jiwa mereka. Medium yang dimaksudkan ialah irama dan lagu. Tentu sahaja irama dan lagu menjadi lubuk buat pencinta seni dalam memanifestasikan apa yang tersimpan di minda mereka kerana ia merupakan wasilah yang terbaik dalam menyampaikan sesuatu terus ke jiwa pendengar. Jiwa lebih mudah teransang melalui pendekatan ini. Mungkin virus sawan yang dihidapi oleh masyarakat arab Syria terhadap syair tidak berlaku kepada kita namun virus yang sama telah menghinggapi kita terhadap irama dan lagu. Hakikatnya, manusia lebih cenderung dengan medium-medium yang bersifat sentimental dan menyentuh jiwa.
Manifestasi jiwa

Jika kita telusuri kandungan setiap lirik yang terdapat dalam setiap lagu, rata-ratanya membicarakan berkenaan cinta. Persoalannya mengapa cinta? Ini kerana cinta merupakan suatu perkara yang bersifat sentimental. Maka perkara sentimental harus disampaikan dengan cara sentimental supaya dapat terus sampai kepada jiwa pendengar. Irama dan lagu menjadi tempat buat penulis lirik bagi meluahkan perasaan yang terbuku disamping berkongsi perasaan yang mereka rasai.

Dari sudut psikologinya, manusia cenderung untuk menceritakan segala permasalahan yang mereka alami terutama golongan wanita. Ini kerana mereka tidak mahu keseorangan dalam berhadapan dengan masalah sebaliknya mereka mengajak teman-teman yang lain untuk turut serta berhadapan dengan masalah tersebut. Ini secara tidak lansung dapat mengurangkan tekanan yang mereka alami. Di samping itu manusia juga gemar berkongsi kegembiraan mereka supaya dapat menghasilkan ‘mood’ tambahan apabila rakan-rakan turut bergembira.

Kerana itu tidak hairan jika kita lihat berbagai jalan cerita yang disajikan melalui corong-corong radio bermula dari kisah awal percintaan sehinggalah ke jinjang pelamin. Tidak kurang juga kisah putus cinta dan masalah rumahtangga. Masyarakat kita pula gemar mendengar berulang kali terutamanya kisah-kisah yang mereka sendiri alami. Medium irama dan lagu ini dilihat berkesan dalam mengimbangi peranan jiwa dalam diri setiap manusia.

     Penulis lirik juga menggunakan platform muzik dalam menyatakan pendirian dan ketidakpuasan hati terhadap sesuatu perkara. Antara yang boleh saya sebutkan disini ialah lirik lagu “Kalau Aku Kaya” nyanyian Awi Rafael. Lagu yang diciptakan Altimet itu sarat dengan mesej jika diperhalusi. Altimet ketika menjawab isu adakah lagu tersebut menyindir bajet 2014 berkata bahawa beliau mendapatkan sekurangnya 40 responden bagi mendapatkan pandangan mereka apa yang mereka inginkan sekiranya menjadi jutawan. Menurut beliau lagu tersebut merupakan suara marhaen di negara ini. Antara perkara yang ingin dilakukan oleh rakyat jika menjadi jutawan ialah seperti yang terdapat dalam lirik lagu tersebut:


Aku nak gaya hidup aku berubah
Alangkah indah kalau dah tak susah
Jadi pemilik bukan sewa rumah….
Dan kalau aku mampu (Jangan pening kepala aku betulkan semua lubang atas jalanraya)….
Biar aku belanja subsidi gula
Korang kena kencing manis tanggung rawatan semua….
Bagitahu jiran lama (sewa mereka kami taja)
          Dan kalau anak-anaknya geliga (kita bagi biasiswa)….

            Sebelum kita lihat pada liriknya, mari kita lihat pada tajuk lagunya iaitu “Kalau aku kaya”. Seperti yang saya sebutkan diatas, irama dan lagu merupakan platform bagi penulis lirik untuk meluahkan perasaan mereka. Mengapa agaknya Altimet mencipta lagu ini? Adakah kerana kesempitan hidup yang beliau alami atau kerana melihat kesempitan hidup yang rakyat alami? Semuanya tertakluk pada tafsiran masing-masing. Altimet lebih mengetahui tujuannya.

            Saya ingin mencarik perhatian pembaca dengan meneliti lirik lagu tersebut yang diluahkan oleh 40 responden sekiranya mereka menjadi jutawan. Antara perkara yang mereka ingin lakukan ialah menjadi pemilik rumah dan tidak lagi menyewa rumah, membaiki lubang di jalanraya, memberi subsidi gula dan memberi biasiswa. Jika kita amati, terdapat unsur sakral disini dimana mereka menyatakan ketidakpuasan hati terhadap harga rumah yang semakin meningkat, sistem jalanraya yang teruk, harga barang keperluan asas seperti gula semakin mahal serta kesulitan mencari dana bagi menyambung pengajian. Mengapa perkara-perkara sebegini disebutkan sedangkan banyak lagi perkara lain yang boleh mereka lakukan seperti apa yang dibuat oleh golongan feudal? Tentu sahaja masyarakat kini sedang merasai kesempitan hidup dengan hanya berbekalkan wang gaji yang tidak pernah cukup kerana melangsaikan hutang yang semakin berganda. Akhirnya rasa ketidakpuasan ini dilontarkan melalui irama dan lagu supaya dapat didengar seantero masyarakat.

Elemen tasawuf dan tazkiyatun nafs

Irama dan lagu juga sering digunakan bagi mendapatkan ‘mood’ taubat atau mengingati tuhan. Ini kerana waktu terbaik untuk muhasabah diri ialah ketika kita berada dalam keadaan minda separa sedar. Islam menganjurkan penganutnya supaya bangun di sepertiga malam kerana itu merupakan waktu yang sesuai untuk muhasabah diri, bertaubat dan mengingati pencipta. Irama dan lagu merupakan antara medium terbaik dalam penghasilan minda separa sedar ini.

            Tidak hairan jika pakar motivasi sering menggunakan muzik sebagai elemen yang dapat membantu menginsafkan peserta ketika slot ‘recall’ (slot dimana peserta akan menangis). Pakar motivasi akan mengeluarkan ayat-ayat yang menginsafkan kepada peserta namun yang membangkitkan jiwa keinsafan ialah alunan muzik yang melatari suara pakar motivasi tersebut. Secara tidak lansung, peserta lebih mudah menitiskan air mata mereka.

            Pendakwah yang terlibat dalam seni muzik pula merasakan irama dan lagu merupakan salah satu medan terbaik dalam menyampaikan dakwah kerana ianya bersifat sentimental sesuai dengan sifat agama yang lembut. Nasyid, qosidah, marhaban dan lain-lain merupakan bentuk dakwah yang sesuai. Hari ini fenomena qosidah menyerang masyarakat apabila sambutan yang diberikan masyarakat terhadap qosidah semakin meningkat. Qosidah ‘Ya Hanana’ antara yang mendapat sambutan hebat. Sebahagian pendakwah merasakan qosidah jalan terbaik bagi menimbulkan rasa kecintaan terhadap nabi dan sebagai salah satu jalan ibadah yang digemari masyarakat. Saya tidaklah mengajak pembaca agar turut menjadikan qosidah sebagai amalan tetapi apa yang ingin saya sampaikan ialah sinergi antara irama dan lagu ini dapat membuatkan seseorang itu lebih tersentuh jiwanya.

            Terdapat juga sebahagian pencipta lagu yang tidak menggunakan nasyid dan qosidah sebagai corak dakwah sebaliknya mereka menggunakan muzik slow rock dan balada sebagai platform alternatif. Ini kerana mereka ingin menyembunyikan unsur islamik supaya dapat menarik minat mereka yang jauh dari budaya islam. Nasyid dan qosidah pula hanya akan didengar oleh mereka yang mempunyai persekitaran islamik dalam hidup mereka. Antara lagu yang mempunyai elemen sufi dan tazkiyatun nafs ialah lagu “Bila diri disayangi” nyanyian Ukays. Berikut saya sertakan sebahagian liriknya:


Terdengar bisikan mesra
Kalimat keramat bermentera
Bermulanya siang berakhir malamku
Tak akan ku jemu menyebut namaMu….
Tiada batasan waktu
Tiada tempat mu bertentu
Digunung di lembah di darat di air
Siapa pun hamba, keikhlasan doa, keagungan kasih, merubah takdir….

Jika kita perhatikan pada rangkap pertama, maksud bisikan mesra tersebut ialah laungan azan. Disifatkan azan itu sebagai kalimat keramat yang menjadi permulaan kepada siang dan berakhirnya malam. Pada rangkap kedua pula penulis lirik menyebutkan tentang ketiadaan batasan waktu dan tempat yang merujuk kepada pencipta iaitu Allah. Dalam perbahasan aqidah ahlus sunnah wal jamaah, Allah itu tidak terbatas dengan waktu dan tidak bertempat (menurut pandangan asy sya’irah dan maturidiah). Penulis menyifatkan sifat yang dimiliki Allah seperti yang difahami oleh aliran asy sya’irah dan maturidiah dalam lirik tersebut. Saya hanya sertakan sedikit sahaja liriknya selebihnya pembaca bolehlah dapatkan di internet untuk mengetahui lebih lanjut.

Selain daripada lagu ini, terdapat sebuah lagi lagu yang mempunyai elemen sufi iaitu lagu “Awan Nano” nyanyian Hafiz AF. Perbahasan tentang lirik lagu ini telah pun dibuat oleh Ustaz Wan Ji dalam blog jalantelawi.com. Pembaca boleh mendapatkannya di pautan http://jalantelawi.com/2012/07/elemen-sufi-dalam-lagu-awan-nano/Antara yang di bahaskan oleh Ustaz Wan Ji disebalik maksud awan nano tersebut ialah awan yang melindungi nabi ketika berjalan dibawah terik mentari. Perbahasan yang lebih lanjut boleh anda dapatkan dalam pautan tersebut. Disinilah penggiat seni menaburkan idea mereka dan menyampaikan mesej dakwah tanpa kita sedari.

Khatimah
Seniman agung tanah air iaitu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pernah mengungkapkan tema irama dan lagu ini dalam lagu beliau yang bertajuk ‘Getaran Jiwa’. Liriknya sangat membekas di hati pencinta seni. Apa yang saya celoteh dari awal penulisan artikel ini hingga lah akhir penulisan sebenarnya sudahpun termuat dalam lirik lagu ini. Pembaca hanya perlu menafsir apa yang cuba disampaikan oleh seniman agung ini. Saya tinggalkan pembaca dengan lirik penuh lagu getaran jiwa sebagai ole-ole.


Getaran jiwa melanda hatiku
Tersusun nada, irama dan lagu
Walau hanya sederhana
Tetapi tak mengapa
Moga dapat membangkitkan
Sedarlah kamu wahai insan


Tak mungkin hilang


Irama dan lagu
Bagaikan kembang

Sentiasa bermadu



Andai dipisah lagu dan irama
Lemah tiada berjiwa… hampa



Tak mungkin hilang (tak mungkin hilang)
Irama dan lagu


Bagaikan kembang

Sentiasa bermadu



Andai dipisah lagu dan irama
Lemah tiada berjiwa… hampa




Tak mungkin hilang
Sinar bintang tetap terus gemilang


Dan jasamu, segala baktimu

Akan terus kekal ke akhir waktu




0 comments:

Post a Comment

Copyright @ 2013 PI- GEN.